Monday, September 2, 2013

Ron 95 naik 20 sen : Rakyat susah payah, K'jaan boros

Keadaan bertambah sesak di stesen-stesen minyak seluruh negara, terutamanya di kawasan bandar, malam ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 2 September, 2013.

KUALA LUMPUR: Mesej daripada kenaikan harga minyak mudah iaitu rakyat mesti mengubah gaya hidup tetapi kerajaan boleh terus berboros. 

“Ini bukan silap ibu mengandung, tapi silap memangkah undi,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mudah untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata inflasi masih terkawal tetapi hakikatnya ringgit sedang jatuh merudum dan ditambah dengan konflik politik Timur Tengah yang tidak stabil.

“Apakah kerajaan BN, terutamanya Najib menjamin inflasi boleh dikekalkan pada paras yang selesa dengan keputusannya menaikkan harga minyak?” tanya beliau sebagai respons kepada kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula tengah malam tadi 

Katanya, selepas PRU13 hingga kini, keadaan ekonomi negara tidak banyak berubah dan langkah meningkat ringgit masih belum kelihatan. 

Oleh itu, ujar beliau kenaikan harga minyak ini sememangnya tindakan memukul diri sendiri kerana ia bakal melonjakkan inflasi tatkala ringgit semakin mengecil.

Beliau berkata, Najib harus mengingati peristiwa kenaikan minyak ke RM2.70 di zaman Tun Abdullah Badawi yang menyebabkan kos barangan dan sara hidup melonjak secara mendadak, dan sehingga kini ia kekal di paras itu, walaupun harga minyak diturunkan ke paras RM1.90.

Menurutnya lagi, meningkatkan pemberian wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan penyelesaian kepada kenaikan harga barangan. 

Katanya, jika BR1M diberi pada kadar maksimum RM1,200 untuk setahun, sebulan baru RM100. 

“Rakyat tahu betapa kecilnya RM100 hari ini lebih-lebih lagi apabila segenap harga barangan dinaikkan dengan alasan nilai import meningkat kerana ringgit mengecil dan kenaikan harga minyak,” ujarnya.

Justeru, ujar beliau PAS menyeru kerajaan BN untuk menggunakan kuasa yang ada bagi mengawal kenaikan harga barangan khususnya selepas kenaikan harga minyak yang diumumkan Perdana Menteri petang semalam.

Katanya, rakyat sanggup bersusah-payah bersama kerajaan kalau kerajaan menunjukkan pembetulan pada sikap borosnya yang keterlaluan.

Friday, March 8, 2013

Bapa mohon maaf pada Anwar, dakwa Saiful dipergunakan

NONE

Bapa Saiful Bukhari hari ini memohon maaf kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa bahawa anaknya telah dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang didakwanya termasuk seorang pegawai perdana menteri untuk memfitnah Anwar dalam kes Liwat II.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dan telah menjadi mangsa fitnah ini," kata Azlan Mohd Lazim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam satu sidang akhbar hari ini.
"Dengan ini saya  memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan famili beliau. Beliau dan familinya telah banyak menderita dan sangsara akibat fitnah ini," tambahnya

Anwar telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun lepas daripada tuduhan meliwat Saiful, yang merupakan pembantunya pada 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Jabatan Peguam Negara telah merayu terhadap keputusan itu dan Mahkamah Rayuan akan mendengar kes pada 22 Julai.
Dalam kenyataannya, Azlan, 60, mendakwa semua kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh anaknya dan beliau sendiri, telah dirancang dan disediakan pegawai khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan seorang peguam, Zamri Idrus.

"Mereka inilah merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan terhadap YB Datuk Seri Anwar, yang melibatkan anak saya."
Zamri telah menafikan dakwaan tersebut danMalaysiakini tidak menyiarkan identiti pegawai khas di JPM itu sementara menunggu respons daripadanya.
Menurut Azlan, beliau mengetahui mengenai hal anaknya terlibat dan dituduh cuma melalui akhbar milik kerajaan kerana anaknya tidak langsung pernah menceritakan tentang kejadian dan pertuduhan tersebut kepadanya.

"Saya tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak bagi mendapatkan keterangan dari saya sebagai bapa dari awal hingga tamat perbicaraan," dakwanya.
walaupun beliau sentiasa dilihat berdamping dan bersama dengan anaknya, Azlan menjelaskan bahawa beliau melakukannya
semata-mata kerana kasih seorang ayah yang memberi sokongan moral kepada anaknya.

"Saya sememangnya tidak percaya kepada dakwaan-dakwaan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar."
Azlan berkata, beliau memutuskan untuk membuat pendedahan ini kerana setelah sekian lama mengumpul maklumat sama ada semasa dalam perbicaraan, mahupun yang dikirim kepadanya oleh orang ramai, "saya dapati kebenaran mula terserlah dan jelas kelihatan."

Pihak pemerintah, katanya, langsung tidak pernah menemuinya  untuk berbincang kes itu atau bertanya pendapatnya.

"Segalanya dirancang dengan begitu rapi oleh (pegawai berkenaan)," dakwa Azlan. 
"Sebagai seorang Melayu dan Islam, saya mula sedar akan perancangan jahat ini. Saya tidak mahu terus bersekongkol dengan fitnah jahat ini. Saya mahu rakyat yang cintakan negara ini tahu akan niat jahat mereka.

"Jika niat jahat ini berterusan, bukan sahaja umat Melayu dan Islam hancur tetapi negara musnah. Saya tidak sanggup melihat ini terjadi.

"Saya mengambil keputusan untuk bersama Datuk Seri Anwar, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia yang dahagakan kemakmuran dan keamanan bercakap benar dan menentang kejahatan ini," katanya.
Azlan merayu kepada seluruh rakyat negara ini "bangun bersatu menentang kezaliman ini dan bekerja keras agar kebenaran akan muncul".

"Marilah kita juga doakan agar Allah menangkan perjuangan Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih
pemerintahan negara dalam Pilihan Raya ke-13 nanti," katanya.

Moral politik : Najib PM sementara sekarang


KUALA LUMPUR: ”Adakah Najib menerima konsep dan kebiasaan sebuah kerajaan sementara untuk pentadbiran harian kerajaan yang telah luput tempoh parlimennya, paling ketara di antara pembubaran parlimen dan pembentukan kerajaan baru selepas pilihan raya umum?” tanya Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang.

Katanya dalam satu kenyataan semalam, soalan itu amat penting dalam kes Najib yang bakal menjadi Perdana Menteri tidak diundi paling lama dalam percubaan tanpa mandatnya sendiri daripada pengundi untuk hampir empat tahun penuh.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu turut bertanya apakah Najib bersedia untuk menghormati dan mematuhi Konvensyen Kerajaan Sementara dan amalan terbaik di negara lain yang mempunyai demokrasi berparlimen yang berfungsi, termasuklah:
  • Tiada keputusan dasar yang utama boleh dibuat oleh Kerajaan Sementara melainkan dalam hal-hal mendesak dan selepas rundingan rasmi dengan Oposisi.
  • Tiada perlantikan signifikan pegawai awam utama, melainkan sebagai pemangku atau tempoh masa pendek.
  • Tiada kontrak atau akujanji sepanjang tempoh menjadi kerajaan sementara. Jika tidak mungkin untuk menangguhkan komitmen sehingga selepas tempoh pentadbiran sementara, untuk tujuan perundangan, komersil dan lain-lain sebab, akan terdapat rundingan dengan Oposisi untuk memastikan bahawa kontrak turut menyediakan fasal bagi menamatkannya jika kerajaan yang baru tidak mahu meneruskan. Syarat yang sama termasuk di dalam memberikan tender.
  • Tiada rundingan dan lawatan antarabangsa.
  • Tiada penglibatan penjawat awam di dalam aktiviti pilihan raya dengan penjawat awam mengambil pendirian neutral sementara terus menasihati Kerajaan.
Menurut Penasihat DAP Kebangsaan itu lagi, melihat kepada dua fakta iaitu Najib sebagai Perdana Menteri tidak diundi paling lama dalam percubaan yang tidak berani mendapatkan mandatnya sendiri dari pengundi dan ulangtahun kelima Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac, 2008, moraliti umum dan politik menuntut Najib supaya menganggap dirinya sebagai Perdana Menteri Sementara dan Kabinetnya sebagai Kabinet Sementara pada hari ini.

Justeru, katanya mereka tidak sepatutnya membuat sebarang keputusan substantif sama ada berkenaan dasar, perlantikan, kewajipan berkontrak atau penyalahgunaan perkhidmatan awam, sama ada pegawai, hasil dan dana awam tanpa berunding dengan Oposisi.

“Biar Najib secara terbuka  menyatakan sama ada beliau bersedia untuk menerima konsep dan kebiasaan sebagai Kerajaan Sementara apabila Parlimen ke-12 secara rasminya terbubar; dan tambahan lagi, sama ada beliau bersedia untuk menerima moraliti politik bahawa secara moralnya, beliau hanyalah Perdana Menteri Sementara bermula 8 Mac 2013, ulang tahun terakhir ‘tsunami politik 308,” ujarnya.

Samseng Umno serang Bas Merdeka Rakyat di Bukit Katil



MELAKA: Berpuluh-puluh samseng Umno BN bertindak liar apabila melontar batu bertalu-talu ke arah bas Jelajah Merdeka Rakyat, selain menyerbu tapak ceramah di Kampung Bukit Katil di sini, malam tadi.

Keadilan Daily melaporkan, dalam kejadian sekitar jam 10 malam itu, empat cermin bas yang dinaiki Datuk Seri Anwar Ibrahim pecah dibaling batu, malah Ketua Umum PKR itu juga terkena serpihan kaca.

“Alhamdulillah – selamat. Hanya serpihan kaca. Serangan samseng Umno di depan polis,” tulisnya pada twitter tidak lama kemudian.

Bagaimanapun, seorang pengawal keselamatan Anwar cedera di mata selepas terkena serpihan cermin manakala seorang lelaki lain, kepalanya berlumuran darah akibat dibaling batu.

Wartawan Keadilan Daily, Mohd Arif Juhani yang membuat liputan siri jelajah itu turut terkena serpihan kaca di muka.

“Cermin bas pecah dibalun macai Umno BN. Kaca bersembur kat muka saya, ada yang masuk mulut,” katanya.

Selain membaling batu, samseng Umno BN yang kebanyakannya memakai kemeja-T biru berlogo BN, turut menunjukkan isyarat lucah dan menghambur kata-kata kesat.

Mereka dipercayai terpengaruh dengan ucapan berbaur hasutan pemimpin Umno di ceramah berdekatan.

Sekalipun pasukan polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di tapak ceramah, kumpulan samseng Umno tetap bertindak ganas, malah merempuh benteng.

Anwar ketika berucap kemudian mengecam perbuatan kumpulan samseng berkenaan dan menyifatkan Umno BN gagal mencerminkan budaya politik sihat di negara ini.

Anwar fail saman Utusan dan TV3



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan tuntutan samannya ke atas Utusan dan TV3 ekoran laporan fitnah media itu.

Saman itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jam 10.30 pagi esok, kata peguamnya N Surendran dan Latheefa Koya dalam kenyataan mereka hari ini.

Saman ini difailkan ekoran laporan media itu bahawa Anwar terlibat dalam kes pencerobohan ke atas Lahad Datu, sabah.

Dalam insiden pencerobohan tentera bersenjata Filipina di Sabah sejak 22 hari lalu, yang telah menyebabkan lapan anggota polis meninggal dunia,  Anwar menjadi mangsa tuduhan.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR itu dituduh 'dalang' kepada pencerobohan.

Utusan Malaysia sebelum ini mengeluarkan laporan bertajuk "Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?" dan  "Tiga kumpulan jadi dalang" mendakwa penglibatan Anwar dengan kumpulan bersenjata di Sabah.

TV3 dalam pada itu menggunakan perkataan 'dalang' dengan mengaitkan Ketua Pembangkang dalam insiden tersebut.

~HD

Monday, February 25, 2013

Intiparti Manifesto Pakatan Rakyat



Pakatan Rakyat yang melancarkan manifesto dalam konvensyen gabungan parti di Shah Alam hari ini.

Ia terbahagi kepada empat tonggak utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan rakyat dan Kerajaan Rakyat.

Tonggak Rakyat Bersaudara

  • Menghapuskan diskriminasi kaum dan adu domba melaga-lagakan kumpulan masyarakat demi menjamin kehormonian dan perpaduan rakyat.
  • Bahasa Kebangsaan dimartabatkan, hak bahasa ibunda dijamin dan bahasa Inggeris dipertingkatkan di dalam sistem pendidian negara yang menjamin pendidikan percuma untuk semua anak Malaysia.
  • Mengiktiraf peranan sekolah janaan rakyat dan memperuntukkan sumber yang berpadanan dengan sumbangan sekolah ini. Pakatan Rakyat juga menghargai sumbangan sekolah agama rakyat, sekolha jenis kebangsaaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), sekolah persendirian Cina, Tamil, Iban, Kadazan, Mubaligh.
  • Mempertahankan hak Sabah dan Sarawak di dalam rangka Perlembagaan Persekutuan seperti yang terkandung dalam deklarasi Kuching.
  • Menitikberatkan hak tanah dan kebajikan Orang Asli. Kebebasan akan dipulangkan kepada mereka untuk mencorakkan kehidupan dengan memberi mereka kuasa ke atas tanah mereka.
  • Menghayati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, menjamin kebebasan beragama serta mengangkat budaya sebagai teras positif hidup bermasyarakat.

Tonggak Ekonomi Rakyat
  • Memperkenalkan program bersepadu untuk memastikan 1 juta peluang pekerjaan bari dibuka dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan dengan mengurangkan satu juta buruh asing secara berperingkat menjelang tahun kelima memegang tampuk kuasa.
  • Pakatan Rakyat memperjuangkan gaji minima - sekurang-kurangnya RM1,100 sebulan - atas prinsip setiap pekerja berhak dibayar gaji yang berpadanan dengn kos kehidupan yang minima, agar rakyat tidak hidup dalam kemiskinan. 
  • Pakatan Rakyat akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji secara keseluruhan penambahbaikan sistem pendidian negara agar selari dengan teras reformasi pendidikan.
  • Memecah menopoli dalam sektor perkhidmatan dan barangan dengan menubuhkan Suruhanjaya Anti-Monopoli dan merombak undang-undang sedia ada berkaitan persaingan untuk memberi lebih kuasa menghentikan amalan perniagaan tidak adil.
  • Merancakkan persaingan dengan membubarkan 1MDB agar Khazanah kekal satu-satunya badan pelaburan negara.
  • Melupuskan pegangan kerajaan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terbabit dalam perniagaan bukan berkepentingan nasinaln kepada pengurusan GLC melalui kaedah ambil alih oleh pengurusan bertujuan untuk melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputra berdaya maju.

Tonggak Kesejahteraan Rakyat
  • Mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dengan menghapuskan monopoli dan menurukan harga petrol dan diesel, caj elektrik, caj air yang berlebihan , hapuskan tol dan menghapuskan monopoli untuk meningkatkan persaingan dalam bidang ekonomi. 
  • Merombak dasar automotif untuk mengurangkan bebanan rakyat dengan menghapuskan cukai eksais, harga kereta serendah RM25,000 serta menyediakan perumahan selesa dan mampu milik untuk semua.
  • Memberikan pendidikan percuma untuk semua dan hapus PTPTN dengan yuran bagi pengajian tinggi lepasan sekolah di semua institusi milik awam akan ditanggung kerajaan dan memberi elaun sara hidup.
  • Pakatan Rakyat akan menghentikan serta merta konsesi dan pelaksanaan AES yang mempertaruhkan keselamatan rakyat di jalan raya sebagai sumber kekayaan kroni. 
  • Pakatan Rakyat akan mempertahankan wibawa, prestasi dan reputasi Felda demi menjamin kedudukan ekonomi dan pemilikan tanah warga peneroka termasuk merombak semula pegangan di dalam FGV dengan matlamat mengembalikan operasi dan pemilikan tanah FELDA ke tangan peneroka dan kakitangan.

Tonggak Kerajaan Rakyat 
  • Mengembalikan prestij dan kemuliaan penjawat awam, membebaskan penjawat awam dari campur tangan politik dan pakej penggajian baru yang menggabungkan prinsip-prinsip daya kerja cemerlang, tempoh perkhidmatan dan potensi kepimpinan demi menjamin keadilan sementara mencungkil bakat kepimpinan.
  • Melaksanakan 8 tuntutan BERSIH sebagai reformasi pilihanraya, melaksanakan pendaftaran undi secara automatik apabila mencecah umur layak mengundi dan membersihkan daftar pengundi dalam masa 100 hari berkuasa.
  • Membebaskan institusi-institusi utama negara iaitu institusi kehakiman, Kamar Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis diRaja Malaysia (PDRM) dari cengkaman politik
  • Mengembalikan kebebasan institusi Parlimen sebagai suara rakyat yang mengimbangi kuasa eksekutif dan memperkenalkan sistem Jawatankuasa Terpilih Parlimen dalam bidang-bidang penting seperti kewangan, keselamatan, pendidikan, pertahanan, PETRONAS dan lain-lain untuk meningkatkan keberkesanan fungsi timbangtara yang dimainkan Parlimen.
  • Menghapuskan semua undang-undang yang menyekat kebebasan media dan mewujudkan suasana media yang berat sebelah, termasuk Akta Percetakan dan Penerbitan, prosuder perlesenan media dan lain-lain.
  • Memansuhkan AUKU dalam tempoh 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat
  • Semakan menyeluruh ke atas semua undang-undang yang bertentangan dengan prinsip keadilan dan kebebasan rakyat atau bersifat anti-rakyat dan memansuhkan semua undang-undang dan peraturan ini dalam tempoh tahun pertama pentadbiran Pakatan Rakyat
  • Menguatkuasakan Akta Pemulihan Demokrasi untuk mengukuhkan lagi hak rakyat dan Kerajaan Persekutuan membebaskan dan memohon maaf kepada kesemua tahanan ISA dari dulu hingga sekarang.
  • Merombak sepenuhnya kuasa dan kepimpinan SPRM untuk membina integritinya di mata rakyat, termasuk mempertimbangkan memberikan kuasa pendakwaan kepada SPRM
  • Merombak amalan dan proses SPRM agar tumpuan diberikan sepenuhnya kepada siasatan dan pendakwaan terhadap kes-kes rasuah besar yang melibatkan kepentingan awam untuk membuang persepsi bahawa SPRM hanya menumpukan kes-kes kecil sedangkan rasuah pembesar negara dipadamkan
  • Mengetatkan undang-undang rasuah dan undang-undang berkaitan (termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat) untuk melaksanakan sekeras-kerasnya undang-undang membanteras rasuah, terutamanya bersabit kes-kes rasuah besar yang melibatkan kepentingan awam

Thursday, February 14, 2013

Lebih 7 juta mohon BR1M 2.0, bukti kegagalan Umno BN


SHAH ALAM 14 FEB : Seramai 7.3 juta bagi rakyat Malaysia memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM 2.0) membuktikan kerajaan pimpinan Umno-BN didakwa gagal untuk meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat negara ini.Ini kerana kelayakan bantuan BRIM 2.0 itu hanya disasarkan kepada seisi keluarga yang berpendapatan di bawah RM3,000.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Kerajaan Pusat sepatutnya mempunyai agenda khas dalam meningkatkan pendapatan isi rumah bukan sekadar memberi ‘panadol’ dengan tidak menyelesaikan isu sebenar permasalahan rakyat.

"Apabila dilakukan dasar pemberian BRIM 2.0 ini mendedahkan keadaan ekonomi rakyat sehingga ramai yang layak untuk menerimanya di mana mereka berpendapatan RM3,000 untuk seisi keluarga.“Ini merupakan satu pendedahan bagaimana ramai yang ‘miskin’ dan jurang perbezaan pendapatan yang besar antara yang kaya dan miskin,” kata Khalid ketika dihubungi TVSelangor.

Katanya, pemberian-pemberian ini hanya bersifat sementara bagi membantu rakyat sedangkan realitinya berlaku kenaikan harga barangan dan perkhidmatan berterusan.“Kerajaan Pusat sewajarnya menumpukan agenda untuk mengurangkan kos kehidupan rakyat dan menambahkan pendapatan rakyat di peringkat bawahan.

"Ini tidak dilakukan oleh kerajaan pusat dan mereka lebih suka mengambil pendekatan ekonomi ‘panadol’ dan masalah sebenar yang berlaku dihadapi rakyat terus semakin kronik,” kata beliau.Ujar Khalid lagi, PR terus komited memperjuangkan isu kehidupan rakyat dengan menumpukan isu kepada pengurangan harga petrol dan memanfaatkan wang negara ke arah yang lebih baik.

"Pakatan mempunyai pelan jangkamasa panjang untuk terus membina potensi modal insan,” katanya.Sebelum ini, PR dalam Buku Jingga memperjuangkan hak rakyat mendapat bantuan kerajaan dalam bentuk subsidi minyak dan barangan keperluan asas selain membela golongan termiskin berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500.Ianya dengan mensasarkan matlamat menjamin pendapatan isi rumah minima RM4,000 setiap keluarga dalam tempoh lima tahun Pakatan Rakyat berkuasa. ~selangorku