Thursday, February 14, 2013

BERSIH : Serangan SPR kepada Ambiga kenyataan jahat


BERSIH membidas kenyataan timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang disifatkan "jahat dan tidak bertanggungjawab" kerana menyerang pengerusi bersamanya Datuk S Ambiga dengan dakwaan "meracuni pemikiran orang ramai dengan perkara palsu".

Gabungan NGO itu juga berpendapat, kenyataan Wan Ahmad itu bertujuan mengalih pandangan orang ramai tentang perkara yang ditimbulkan oleh kumpulan masyarakat madani dan pandangan umum tentang keperluan reformasi pilihan raya.

"Semenjak BERSIH 2.0 dilancarkan dalam tahun 2010 sebagai kumpulan masyarakat madani yang tidak berpihak, BERSIH 2.0 telah terus menerus menuntut dilakukan reformasi untuk mewujudkan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. 

"Dari kes Likas tahun 2001 hingga ke kajian Merap (Malaysian Electoral Roll Analysis Project), ditambah pula dengan kenyataan saksi Siasatan diRaja Sabah membuktikan bahawa tuntutan BERSIH 2.0 adalah berasaskan fakta," kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu juga menyebut BERSIH menerima rungutan dari orang ramai, termasuk dari warga di luar negara berhubung dakwaan penipuan pilihan raya, keganasan ketika berkempen hingga tatacara mengundi pos yang didakwa tidak jelas.
NGO itu berkata saranan supaya orang ramai percaya kepada SPR tidak kena pada tempatnya kerana dakwaan "kekusutan dan kacau bilau" dalam sistem pemilihan yang sedia ada telah ditimbulkan kajian Merap dan disahihkan melalui "Ops Durian Buruk".

"Dalam suasana ini tidak mungkin SPR ada wibawa untuk menuduh orang lain menyebar ajaran 'jangan percaya'. Orang ramai boleh berfikir sendiri sama ada mereka percaya atau tidak terhadap sistem pilihan raya yang ada sekarang," kata kenyataan itu.

Wan Ahmad dilapor memberi amaran kepada Ambiga supaya tidak menjadi perosak kepada kelancaran proses pilihan raya umum yang akan datang susulan Ambiga mahu pengundi luar negara pulang menunaikan tanggungjawab mereka dan tidak menggunakan undi pos.

Beliau menyifatkan kenyataan pemimpin NGO itu sebagai boleh mengelirukan dan menghakis keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi di negara ini.

NGO itu turut mengingatkan SPR bahawa kumpulan masyarakat madani sedia membantu membersihkan senarai pengundi dan menggesa suruhanjaya itu memulakan perbincangan rasmi dengan semua pihak yang berkepentingan antaranya MyOverseasVote dan parti politik untuk menyelesaikan masalah tatacara undi pos.

"Usaha kami untuk membawa orang ramai kearah melahirkan satu sistem pilihan raya yang bersih dan adil adalah langkah pertama untuk mengembalikan keyakinan umum terhadap pilihan raya.

"Memperkasa pengundi untuk percaya terhadap lembaga yang diwujudkan ini akan memastikan sistem ini boleh diyakini. Maklumat dan pemantuan pilihan raya adalah sebahagian dari proses ini," katanya.

SPRM mesti siasat siapa penaja PSY


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung isu penajaan persembahan Park Jae-sang (Psy) di Pulau Pinang baru-baru ini yang dilihat seperti mahu disembunyikan.

Naib ketuanya Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata kenyataan daripada Scooter Braun Projects, iaitu syarikat pengurusan bintang popular dari Korea Selatan itu bahawa Kerajaan Persekutuan tidak membuat bayaran atas persembahan tersebut menimbulkan tanda tanya.

"Umum mengetahui bahawa bayaran yang dikenakan kepada PSY hampir mencecah RM 2 Juta, siapakah penaja bayaran tersebut? Siapakah individu atau syarikat yang begitu ‘pemurah’ bagi membantu BN Pulau Pinang untuk membawa PSY di sana?

"Jika ianya sebuah syarikat, adakah pihak kerajaan telah memberikan beberapa projek lain bagi ‘habuan’ tersebut," soalnya.

Sebelum ini,  Ahli Parlimen DAP Jelutong, Jeff Ooi, Psy atau Park Jae-Sang, telah ditawarkan 'harga tetap' sebanyak AS$500,000 (atau RM1.5 juta) untuk mempersembahkan  lagu hitnya 'Oppa Gangnam Style' di majlis tersebut.

BN, bagaimanapun, menegaskan ia tidak membiayainya, sambil menambah bahawa "kita tidak membayar satu sen pun" untuk persembahan bintang sensasi dunia itu.

Ianya sekaligus menimbulkan tanda tanya pihak mana yang sudi membiayai program anjuran BN itu.

Sehingga kini masih belum ada mana-mana pihak tampil membuat pengakuan berhubung penajaan persembahan yang mendapat reaksi bercampur-campur dari rakyat negara ini.

Mega Ultimate, syarikat yang sebelum ini dikatakan membayar persembahan bintang pop Korea itu juga terus membisu.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad berkata, rakyat kebanyakan melihat kos hampir RM2 juta untuk persembahan lapan minit itu sangat besar jika dinilai dengan keperluan mendesak rakyat.

"Oleh yang demikian, pihak kami mendesak agar SPRM menyiasat jika ada unsur-unsur rasuah kepada mereka yang terlibat menganjurkan persembahan tersebut khasnya.

"Kami juga mendesak agar didedahkan siapakah penyumbang atau penaja RM 2 Juta tersebut bagi membuat bayaran kepada PSY, dan sudah tentu apakah kepentingan penyumbang atau penaja tersebut terhadap Kerajaan," katanya

Friday, February 1, 2013

Mahkamah putus pecat penghulu tidak sah


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang Penghulu ke atas Kerajaan Melaka apabila hakim memutuskan hukuman buang kerja yang dibuat oleh kerajaan negeri ke atasnya tidak sah dan terbatal.

Di dalam keputusan bertulisnya yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Puan Diana binti Md Razali petang tadi (4.30 petang) Hakim Hakim Tuan Abang Iskandar bin Abang Hashim menyatakan bahawa hukuman buang kerja atau pemecatan ke atas Penghulu, Encik Shamsudin bin Mohd Bakhid adalah menggunakan peruntukkan undang-undang yang salah.

Oleh itu segala keputusan yang dibuat oleh Responden iaitu Lembaga Tatatertib Bagi Kumpulan Sokongan (No 1) dan Kerajaan Melaka adalah salah di sisi undang-undang.

Justeru itu Hakim telah memerintahkan perintah certiorari membatalkan keputusan buang kerja tersebut dan juga perintah mandamus bagi memaksa  Responden-Responden mengambil langkah –langkah yang perlu dan wajar untuk menempatkan semula penghulu tersebut ke jawatan asal beliau sebelum keputusan tersebut dibuat.

Mahkamah juga memerintah Kerajaan Melaka membayar segala gaji, elaun dan emolument yang layak diterima oleh penghulu tersebut dari 1/4/2011 sehingga tarikh perintah hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan Kerajaan Melaka membayar gantirugi am, gantirugi tauladan (exemplary damages)  dan gantirugi melampau (aggravated damages) kepada penghulu tersebut serta kos.

Fakta kes tersebut adalah pada 2/5/2000 pemohon telah dilantik sebagai Penolong Pegawai Tadbir (Penghulu) N6 (Gred NP 27) di Pejabat Tanah dan Daerah Alor Gajah, Melaka yang mana beliau adalah seorang Penjawat Awam yang berjawatan tetap dan berpencen.

Melalui surat bertarikh 10/8/2001 daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam kepada pemohon, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam telah meluluskan pengesahan lantikan pemohon sebagai Penolong Pegawai Tadbir (Penghulu) Gred 6 bermula 2/5/2000.

Gaji terakhir Pemohon sebagai Penolong Pegawai Tadbir (Penghulu) N6 (Gred NP 27) adalah berjumlah RM2,202.80 sebulan.

Melalui surat bertarikh 17/1/2011 yang dikeluarkan oleh Responden ke atas Pemohon, Responden memaklumkan kepada pemohon bahawa beliau patut dikenakan tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atas dua pertuduhan yang berasingan.

Pertuduhan pertama pemohon di tuduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 manakala bagi pertuduhan kedua Pemohon dikenakan pertuduhan di bawah Peraturan 4 (2) (i) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Melalui surat bertarikh 7/2/2011 pemohon telah membuat representasi bertulis kepada Responden.

Melalui surat bertarikh 31/3/2011 yang diterima oleh Pemohon pada 6/4/2011 Responden Pertama iaitu Pengerusi Lembaga Tatatertib memaklumkan kepada pemohon bahawa Lembaga Tatatertib telah memutuskan bahawa beliau telah didapati bersalah ke atas pertuduhan yang pertama dan pemohon dikenakan hukuman buang kerja mengikut Peraturan 38 (g) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi pertuduhan Pertama berkenaan yang berkuatkuasa pada 15/3/2011.

Pemohon yang tidak berpuashati dengan keputusan tersebut telah melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Februari 2012 yang lalu.

Di dalam penghujahan di Mahkamah sebelum ini peguam pemohon telah berhujah bahwa wujudnya "procedural impropriety" yang dilakukan oleh Responden apabila mereka mengambil tindakan tatatertib ke atas pemohon di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 tanpa mengambil kira bahawa bagi pertuduhan pertama yang dikenakan ke atas pemohon prosedur yang wajib dipatuhi dan diikuti oleh adalah Peraturan 32 dan 33 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan bukannya Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Peguam pemohon juga berhujah bahawa memandangkan Responden telah gagal mematuhi Peraturan 32 dan 33 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993  bagi pertuduhan pertama ke atas pemohon maka keputusan tersebut adalah satu keputusan yang “illegal” (tidak sah) kerana Responden-Responden telah gagal mengambil kira dan menimbangkan laporan ke atas  pemohon, rekod perkhidmatan pemohon dan perakuan Ketua Jabatan pemohon sepertimana yang ditetapkan atau dikehendaki oleh Peraturan 32 (2) dan Peraturan 33 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Penghulu tersebut amat bersyukur dengan keputusan Mahkamah tersebut kerana beliau tetap percaya bahawa tindakan yang dikenakan ke atas beliau mempunyai unsur-unsur politik yang mengakibatkan beliau terpaksa menganggur selepas dipecat oleh Kerajaan Ali Rustam itu.

Menurutnya, sebelum pemecatan tersebut, beliau pernah beberapa kali tidak dibenarkan untuk menyertai mana-mana mesyuarat di peringkat daerah dan juga tidak dibenarkan mewakili jabatan beliau untuk menghadiri mesyuarat di peringkat negeri.

Penghulu tersebut diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin bersama-sama Cik Azhana Mohd Khairudin manakala Kerajaan Negeri Melaka diwakili oleh Puan Norhasmiza bin Othman.

Monday, January 28, 2013

Ali Rustam fitnah Pakatan Rakyat

MELAKA: PAS Melaka melahirkan rasa kesalnya apabila seorang yang bertaraf Ketua Menteri boleh lagi membuat fitnah.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari (gambar) dalam kenyataannya berkata, kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam bahawa Pakatan Rakyat akan membuang separuh kakitangan awam sekiranya berkuasa adalah fitnah.

Ali menyatakan demikian semasa menyampaikan ucapan di hadapan guru-guru yang dikerah menyambut kedatangan Tan Sri Muhyiddin Yasin ke Melaka pada 22 Januari lalu.

"Sebelum dia buang kita, kita akan buang dia," antara ayat yang digunakan oleh Ali Rustam untuk menimbulkan kebencian kakitangan awam kepada Pakatan Rakyat.

"PAS Melaka merasakan adalah tidak wajar seorang Ketua Menteri sanggup mengeluarkan fitnah sedemikian dihadapan kakitangan awam," kata Adly.

Kenyataan Ali itu diselangi dengan beberapa rasa tidak puas hati kakitangan awam dengan berkata "apa yang dia merepek tu", kata Adly.

Sunday, January 27, 2013

Pemimpin Pakatan perkukuh hubungan

Perbezaan pendapat tidak menghalang hubungan pimpinan Pakatan Rakyat. Hari ini, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengunjungi Pengerusi DAP Karpal Singh di Pulau Pinang.

TG Nik Aziz tiba di kediaman Karpal pada kira-kira jam 3 petang dan meluangkan masa selama 20 minit di kawasan yang meriah dengan sambutan Thaipusam, di Jalan Scotland.

Dalam kunjungan itu, TG Nik Aziz turut memotong kek sebagai tanda ulangtahun kelahirannya ke-82, sambil disaksikan pemimpin DAP, PAS dan PKR.

Karpal yang gembira dengan kehadiran Nik Aziz itu berkata beliau terkejut kerana pemimpin PAS itu tiba 30 minit lebih awal.

"Kehadirannya memberi mesej yang kuat bahawa kesatuan kami tetap utuh walau dengan apa yang telah berlaku.

"Kami memahami dan menerima perbezaan antara satu sama lain," katanya.

Wednesday, January 23, 2013

UMCEDEL : Integriti & salahgunakuasa BN beri kesan buruk dalam PRU 13


Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL) dalam pembentangan kajian mengenai pengundi menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 menekankan isu integriti dan salahguna kuasa melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) antara punca utama akan menjejaskan sokongan rakyat kepada mereka.

Menurut pengarahnya, Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman hasil penemuan terkini daripada 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013 mendapati masyarakat masih lagi peka dan mengambil tahu tentang skandal melibatkan pemimpin BN.

"Dalam kajian kami, isu-isu melibatkan pemimpin kerajaan seperti Deepak Jaikishan, NFC dan lain-lain yang melibatkan ketelusan pemerintah masih lagi menjadi perkara utama yang diperkatakan," kata Mohammad Redzuan semasa membentang kajian hari ini.

Beliau turut menegaskan pengundi memiliki pandangan yang berbeza terhadap BN dan PR, namun menekankan perkara pokok yang dilihat penting adalah daripada sudut pentadbiran.

"Bagi Pakatan, isunya adalah perbalahan. Manakala bagi BN pula isunya adalah integriti.

"Pengundi sebenarnya melihat daripada sudut pentadbiran," tambah beliau lagi.

Dalam tinjauan terbaru UMCEDEL yang melibatkan 1,409 orang responden mendapati sebanyak 78 peratus bersetuju bahawa isu integriti dan salahguna kuasa akan memberikan kesan kepada prestasi BN, manakala 11 peratus berkata tidak dan 11 peratus lagi tidak pasti.


Lebih menarik lagi, penemuan UMCEDEL tersebut mendapati majoriti 95 peratus masyarakat kaum Cina mengatakan isu integriti dan salahguna kuasa akan menyebabkan sokongan kepada kerajaan BN akan merosot, sekaligus memberikan petanda bahawa parti komponen MCA berdepan dengan kesukaran untuk mendapat semula kerusi mereka.

Selain itu juga, rata-rata masyarakat kaum Cina menyatakan kelemahan kerajaan mengurus ekonomi negara sehingga berlakunya peningkatan hutang, isu kilang nadir bumi Lynas dan kenaikkan harga barang juga faktor utama akan menjejaskan sokongan kepada BN.

Berbeza dengan BN, percanggahan pendapat dikalangan parti dalam PR dilihat pengundi sebagai akan menjejaskan sokongan mereka dalam pilihan raya nanti.

"Bagi Pakatan, perkara yang menjadi fokus utama akan menjejaskan sokongan adalah percanggahan pendapat, khususnya melibatkan isu seperti Hudud, kalimah 'Allah' baru-baru ini dan lain-lain," tambah Mohammad Redzuan.

Daripada kajian UMCEDEL, sebanyak 59 peratus berkata bersetuju percanggahan pendapat dalam kalangan parti PR (DAP, PAS dan PKR) akan menjejaskan sokongan, 20 peratus tidak setuju dan 21 peratus lagi tidak pasti.

Walaubagaimanapun, langkah kerajaan baru-baru ini dengan pelbagai program yang diumumkan dalam Bajet 2013 disambut positif responden yang ditemui oleh UMCEDEL dengan sebanyak 55 peratus bersetuju ia memberikan manfaat kepada rakyat, 22 peratus tidak dan 23 peratus tidak pasti.

Selain itu, kerajaan BN turut berdepan lebih banyak lagi tanggungjawab berat jika mahu memastikan kemenangan besar pada pilihan raya kali ini memandangkan kajian badan bebas tersebut mendapati majoriti pengundi memberikan maklum balas positif terhadap janji PR untuk menurunkan harga minyak, memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan menurunkan harga kereta.

Majoriti 50 peratus responden yang ditemui menyokong cadangan tersebut serta menyatakan ia mampu meningkatkan sokongan kepada PR.

Pertembungan antara BN dan PR dalam pilihan raya kali ini merupakan yang tersengit dalam sejarah negara, malahan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah berulang-kali tentang hasratnya mahu mendapatkan mandat besar berbandingan tahun 2008 bagi mendapat sebuah kerajaan yang kuat dan melancarkan perjalanan pentadbiran.

Walaupun pilihan raya dijangka akan diadakan selewat-lewatnya April ini, Najib masih lagi tidak memberikan isyarat jelas untuk membubarkan Parlimen mahupun mengumumkan secara rasmi senarai calon yang akan diletaknya pada pilihan raya umum ke-13 tahun ini.

Dalam pilihan raya 2008 lalu, BN memperolehi 4.08 juta undi berbanding dengan PR 3.79 juta undi - perbezaan sebanyak 290,000 undi - dan pembangkang berharap pengundi baru pada pilihan raya akan datang dapat membantu mereka menambahkan baki kepada parti komponen PR yang terdiri daripada DAP, PAS dan PKR. TMI

Thursday, January 17, 2013

Pengakuan Tun M : Akhirnya terbukti Umno jual Negara demi kuasa


"Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bingkas membidas dan menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh Tun Mahathir di sebalik pengakuannya memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing semasa pentadbirannya.

Pertama sekali, Tun Mahathir sudah mengaku menjadi dalang utama projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing dua minggu sebelum pilihanraya 1990. Inilah jawapan yang dicari-cari selama ini, telah dilafaz sendiri oleh Tun Mahathir.

Walau apapun alasannya, pemberian kewarganegaraan segera khususnya di musim pilihanraya harus diterjemah sebagai jalan singkat untuk regim terus berkuasa. Pemberian kad pengenalan secara terburu-buru sempena pilihanraya secara langsung membolehkan si penerima anugerah warganegara segera ini terus mengundi. Ia sangat tidak adil khususnya buat rakyat Sabah ketika itu dan kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Maka dengan pengakuan Tun Mahathir hari ini setelah lama mendiamkan diri, apakah ada lagi pengakuan atau pendedahan yang lebih sensasi untuk membolehkan rakyat seluruh tanahair sedar bahawa regim pemerintah tergamak menjual negara ini demi mengekalkan kuasa melalui kewarganegaraan segera? Hanya selepas negara dikejutkan dengan pendedahan oleh bekas Ketua Jabatan di JPN Sabah dan bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, menjadikan Tun Mahathir tidak punya pilihan selain mengaku perbuatannya.

Pengakuan Tun Mahathir ini wajar dipandang serius terutamanya apabila menyedari modus operandi yang sama dijangka bakal digunakan oleh Umno dan Barisan Nasional dalam pertembungan PRU-13, berdasarkan mood kebangkitan rakyat yang akan menyaksikan pemerintahan 56 tahun mampu ditamatkan. Umno dan BN tidak mampu mengekang arus perubahan malah turut sedar betapa mereka akan tumbang kali ini. Maka operasi Sabah 1990 diperluas ke semenanjung!

Kedua, Tun Mahathir mendakwa bahawa tindakkannya memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah tidak seteruk Tunku Abdul Rahman Putra yang kononnya telah memberi kerakyatan kepada sejuta penerima yang tidak layak. Lupakah Tun Mahathir bahawa ketika sejuta kerakyatan yang diberi suatu ketika dahulu adalah demi membentuk sebuah negara merdeka?

Apakah kesumat yang melanda Tun Mahathir sehingga tergamak mengungkit pemberian hak sejuta kerakyatan yang dikontra dengan 'hak keistimewaan orang melayu'? Apakah hari ini Tun Mahathir ingin katakan bahawa orang cina dan india tidak layak mendapat kerakyatan? Ternyata sentimen perkauman itu tetap menebal walaupun Tun Mahathir di hujung usia, dan barangkali ia satu candu untuk Tun Mahathir melupakan salahsiah asal usulnya.

Penghinaan Tun Mahathir terhadap bekas Perdana Menteri yang Umno sendiri gelar sebagai Bapa Kemerdekaan dilihat agak keterlaluan. Kekalutan Tun Mahathir cuba membela diri dengan mensabitkan seseorang yang sudah mati, yang sudah tentu tidak mampu menjawab tuduhan bagi membela diri adalah sangat tidak 'gentleman'. Tidak cukupkah penghinaan yang Tun Mahathir lakukan kepada Tunku Abdul Rahman ketika beliau masih hidup?

Ketiga, Tun Mahathir turut mendakwa pemberian kad pengenalan kepada warga asing itu kononnya mengikut landas undang-undang walaupun ketika itu secara kebetulan menjelang pilihanraya. Ya, memang secara kebetulan kerana inilah 'kebetulan' yang dicari bagi menghadapi pilihanraya. Ini satu kebetulan yang membolehkan kuasa dirampas di Sabah, dan akan menjadi satu lagi 'kebetulan' untuk Umno merampas Selangor pula.

Ketika ini PRU-13 menjelang tiba, dan secara kebetulan negeri Selangor menjadi sasaran utama untuk dirampas oleh Umno maka secara 'kebetulan' juga negeri Selangor dipenuhi oleh pendatang asing yang mempunyai kad pengenalan biru. Perkara ini telah acap kali didedahkan dan sering menjadi perhatian.

Dari aspek nasional pula, Umno dan Barisan Nasional begitu lemah dalam survivalnya untuk pertahankan Putrajaya. Secara kebetulan juga, ratusan ribu pendatang asing telah dipanggil 'interview' secara besar-besaran di Kompleks Imigresen Precinct 2 Putrajaya di atas nama pemutihan 6P. Projek 6P ini dilakukan secara terburu-buru demi perlaksanaan sistem biometrik untuk warga asing. Sistem biometrik ini juga merupakan sistem yang dicadang oleh SPR sebagai alternatif kepada tuntutan penggunaan dakwat kekal.

Mujurlah sistem biometrik tidak diguna dalam pilihanraya atas desakan penggunaan dakwat kekal, jika tidak pastinya satu lagi 'kebetulan' berlaku.

Sesungguhnya insiden kebetulan yang berlaku pada tahun 1990 di Sabah sepertimana yang disebut oleh Tun Mahathir kini berlaku semula menjelang PRU-13 dan kali ini ia menjalar ke seluruh negara. Pelbagai 'kebetulan' yang melampaui keraguan munahsabah, apakah rakyat masih tidak sedar?

Ingatlah, pemberian kad pengenalan kepada warga asing adalah satu pengkhianatan. Lihatlah bagaimana kedudukan warga asing di serata pelusuk negara walaupun tanpa memiliki dokumen yang sah, mereka mampu berniaga di pasar pagi, pasar petang siang dan malam, membuka gerai, bengkel malah ada yang jauh lebih 'advance' memiliki syarikat pembinaan sendiri. Bayangkan jika warga asing yang belum layak ini diberikan kad pengenalan secara sewenang-wenangnya demi membantu Umno dan BN menang pilihanraya, akhirnya rakyat akan merempat di bumi sendiri!

Justeru itu, pengakuan Tun Mahathir ini menjadi rujukan terpenting untuk rakyat bangkit menghumban pemerintah yang menipu pilihanraya khususnya dalam soal kewarganegaraan segera. Paling penting, pengakuan Tun Mahathir yang juga bekas 22 tahun Presiden Umno membuktikan, sah sahih muktamad, Umno sanggup jual negara ini kepada warga asing demi untuk terus kekal berkuasa!

Demi rakyat dan kecintaan terhadap negara ini, SAMM dengan kerjasama pelbagai organisasi massa akan sekali lagi menjelajah ke seluruh tanahair termasuk Sabah dan Sarawak bagi meniup kesedaran awam dalam isu babitkan warga asing dan juga menggerakkan massa untuk mengekang warga asing daripada menjadi pengundi talibarut regim pemerintah. Turut akan dipersembahkan sepanjang jelajah ialah teknik mengenalpasti pendatang asing yang cuba mengundi dan teknik tangkapan awam yang berkesan.

Ayuh anak muda bersama SAMM, bangkit dan lawan !

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda SAMM