Thursday, May 24, 2012

Kit Siang :PM tetap seorang Melayu


NONE
Berdasarkan realiti politik selama ini, perdana menteri Malaysia akan tetap seorang Melayu, kata ketua anggota parlimen DAP Lim Kit Siang.


Anggota Parlimen Ipoh Timor itu bagaimanapun berkata, perlembagaan menyatakan dengan jelas bahawa jawatan itu terbuka kepada semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kawasan kediamannya.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang memetik Pengerusi DAP Karpal Singh sebagai menegaskan, selagi hidup beliau akan berjuang memastikan bukan Melayu menyandang jawatan perdana menteri.

Laporan itu menyebut, Karpal secara peribadi menganggap tidak ada undang-undang yang boleh menghalang jawatan itu disandang oleh bukan Melayu.

Akhbar Umno itu juga melaporkan Karpal mengaku tersilap menyebut Lim sebagai bakal perdana menteri tetapi menegaskan calon bukan Melayu akan menyandang jawatan itu suatu hari nanti.



Dalam kenyataannya hari ini, Lim secara sinis mengulangi kenyataannya bahawa:

"Apabila DAP muncul di muka depan Utusan, ia pasti berita buruk/ masalah politik kerana ia gaya putar belit mereka."

Lim berkata, Karpal hanya merujuk kepada perlembagaan yang menyatakan bahawa jawatan itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia.

Justeru, kata Lim lagi, Utusan bersikap tidak beretika dan tidak bertanggungjawab dengan mencipta "isu yang tidak wujud" demi kepentingan politik.

Lim berkata, ia sebahagian kempen menakut-nakutkan orang ramai terhadap DAP, seperti "fitnah" bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa jika Umno tumpas, Melayu akan hilang kuasa politik.


Peserta BERSIH mungkin buta sebelah mata


Salah seorang peserta yang cedera serius terkena kanister gas pemedih mata sewaktu berlaku kekecohan ketika perhimpunan BERSIH 3.0, tampil hari ini untuk mencerita apa yang telah menimpa dirinya.

Asrul Wadi Ahmad, 29, (dua dari kanan) dari Kepala Batas, telah diperiksa oleh empat 
orang doktor dan mungkin didiagnosis buta mata kanannya  jika 
keadaan tidak bertambah baik dalam tempoh enam bulan.
Asrul berkata dia terkena kanister gas pemedih mata tepat di mukanya pada kira-kira jam 3.15 petang di sekitar Masjid Jamek, ketika dia menyertai bantahan BERSIH pada 28 April.




Katanya, dia hilang penglihatan di mata kanannya, dan setiap kali dia melihat, terdapat tompok hitam di dalam pandangannya.
NONE 
Para doktor memberitahunya bahawa kesan pada matanya disebabkan oleh satu objek yang mengenainya pada kelajuan yang tinggi.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang, Asrul berkata keadaan adalah tenang ketika dia berada di sekitar Masjid Jamek, 
tetapi ia tiba-tiba bertukar menjadi kacau-bilau apabila gas pemedih mata ditembak ke arah orang ramai.

Apabila dia terkena kanister tersebut, Asrul rebah dan dibantu oleh orang ramai yang membawanya ke sebuah hospital berhampiran, di mana beliau menerima sembilan jahitan di bawah matanya.

Apabila ditanya sama ada dia menyesal dengan keputusannya untuk menyertai perhimpunan tersebut, Asrul berkata, "Tidak, ini adalah perjuangan rakyat."


Katanya, dia akan menyertai lagi perhimpunan jika BERSIH 4.0 dianjurkan.

Sebagai belia, kata Asrul, mereka mempunyai tanggungjawab untuk memastikan negara kekal demokratik.

Asrul dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap polis ekoran apa yang menimpa dirinya.
Dia juga telah hilang pekerjaan sebagai seorang jurutera mekanikal di sebuah syarikat pembuatan di Pulau Pinang, yang ditawarkan kepadanya sebelum perhimpunan BERSIH diadakan.

"Mereka memberitahu saya bahawa pekerjaan tersebut memerlukan seseorang yang mempunyai penglihatan yang baik," katanya sambil menambah, dengan keadaannya itu, dia tidak lagi sesuai untuk pekerjaan tersebut.


Tuesday, May 22, 2012

Datuk Fauzi Shaari sertai PAS


Kuala Lumpur: Rasa bertanggungjawab untuk sama-sama menyumbang dalam Islam, membuka hati bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari menyertai PAS.

Percaya PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, tindakannya menyertai parti itu secara rasmi semalam, bukan petanda beliau baru 'sedar'.

"Ketika saya berkhidmat dalam PDRM, saya sudah meneliti senario politik negara. Saya berhubungan dengan semua pihak, cuma saya belum menjadi ahli kepada mana-mana parti politik," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengakui selalu mengikuti perkembangan PAS ketika masih berkhidmat di PDRM, Fauzi berkata tindakan beliau menyertai PAS melangkaui kepentingan dan keselesaan yang dinikmatinya kini.

Baginya, dengan menikmati wang pencen, beberapa perniagaan keluarga yang boleh memberikan pendapatan bulanan kepadanya tidak cukup menzahirkan rasa tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

"Memang kalau ikut keselesaan, dengan wang pencen dan hasil bulanan dari perniagaan saya dan keluarga, ia sudah cukup untuk saya. Saya boleh duduk rehat sahaja. Tapi, semacam ada rasa satu tanggungjawab untuk saya bersama PAS kini," tegas beliau lagi.

Beliau yang bersara sejak 25 September 2006, bertindak menyertai PAS dan menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, di satu majlis di Lumut, Perak, malam tadi.

Semasa menjadi Ketua Polis Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Tindakan beliau pernah dikecam oleh seorang menteri yang menyifatkan tindakan Fauzi akan menghalau pelancong dari negara ini.

Ahad lalu, Datuk Fauzi, bekas orang nombor tiga dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan borang permohonan menyertai PAS.

Borang itu diserahkan sendiri oleh beliau kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di hadapan lebih 5,000 penyokong Pakatan Rakyat.

Majlis penyerahan borang itu diadakan di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang, Larut dekat sini, iaitu di kawasan kampung halaman Fauzi.

Program Ambiga Di Merlimau Diganggu Pemuda Liar, ADUN DAP Jadi Mangsa


 

Program Hi-tea masyarakat India bersama Pengerusi J/K BERSIH, Datuk S.Ambiga di Merlimau terganggu ekoran serangan oleh kumpulan yang dikenalpasti pemuda Umno dan PERKASA.

Dua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menjadi mangsa apabila acara minum petang bersama Pengerusi Bersama BERSIH S Ambiga dihadiri sekumpulan pemarah yang tidak berpuas hati, menurut malaysiakini.

ADUN Ayer Keroh Khoo Poay Tiong berkata kumpulan pengacau itu menyerangnya dan ADUN Bandar Hilir Tey Kok Kiew apabila mereka meninggalkan tempat acara itu.

"Batu dan telur hinggap di kereta kami. Cermin depan anggota kami turut pecah," katanya.

Menurut beliau lagi, turut berada di tempat kejadian ialah ADUN Umno iaitu YB ADUN Sungai Rambai, YB ADUN Merlimau dan ADUN Serkam tetapi anehnya mentertawakan beliau di serang dan dibuli oleh pemuda Umno PERKASA

Salah satu daripada tayar kenderaan Tay juga dipancitkan, cermin sisi pecah dan badannya kemik teruk dihentam kumpulan itu.

ADUN Banda Hilir YB Tay kesal dengan sikap Polis membiarkan samseng yang bertindak demikian namun polis tidak megambil apa-apa tindakan sedangkan polis melihat kejadian tersebut berlaku.

Beliau membuat laporan polis di balai Polis Merlimau. 

Ke Mana RM40 juta Untuk Sampah?


Krubong - Beberapa orang penduduk telah merungut tentang pembakaran sampah di tapak pelupusan sampah yang terletak di Krubong, Durian Tunggal. Keadaan ini telah berlaku beberapa hari yang lalu dan boleh menjejaskan keadaan penduduk yang tinggal berdekatan dengan tapak pelupusan sampah itu.

Tapak pelupusan sampah yang terletak di Krubong sepatutnya telah berhenti beroperasi pada tahun 2008 lagi dan ini telah berlanjutan setelah 4 tahun dari tarikh asal ia beroperasi. Memandangkan tiada tapak pelupusan sampah yang baru untuk menggantikannya, operasinya masih diteruskan sehingga ke hari ini walaupun telah mencapai tahap kapasitinya.

Kerajaan Persekutuan di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara telah meluluskan pembinaan sel tambahan di Tapak Pelupusan Krubong seluas 12 hektar yang menelan kos berjumlah RM42.87juta. Jangka hayat sel tambahan ini tidak lebih daripada 18 bulan sementara menunggu tapak pelupusan Sungai Udang disiapkan.

Lokasi tapak pelupusan sampah yang baru akan dibina adalah di Sungai Udang, Melaka iaitu 25km dari pusat Bandar Melaka dan sejauh 15km dari tapak pelupusan sampah sedia ada di Krubong, Melaka. Tapak tersebut bersebelahan dengan Logi Pengolahan Enap Cemar Berpusat sungai Udang milik Jabatan Perkhidmatan Pembentungan dan keluasannya ialah 64 hektar.

Tapak pelupusan tersebut dijangka beroperasi pada awal tahun 2013 dan anggaran kos telah bertambah sehingga RM30juta atau RM40juta. Namun sehingga ke hari ini belum ada sebarang berita mengenai tapak pelupusan sampah yang baru itu.

Ketika dilokasi berkenaan, ADUN Ayer Keroh turut mempertikaikan pihak Kerajaan Melaka dalam menangani masalah sampah di Krubong ini. Beliau berkata, kerajaan sibuk membanteras peserta BERSIH 3.0 namun untuk membersihkan tapak pelupusan sampah ternyata gagal sekali. Kepentingan rakyat diabaikan dari segala-galanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bukit Katil, Yusof Wahab menyelar tindakan kerajaan dalam menangani masalah sampah ini. Mana perginya slogan Bandar Teknologi Hijau ataupun "Go Green"? Rakyat telah diracuni dengan asap pembakaran sampah yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk setempat.

Tuesday, May 15, 2012

Pak Samad: Kenyataan polis mungkin galak demo 'biadap'


Pengerusi bersama BERSIH, Datuk A Samad Said berkata kenyataan polis berhubung demonstrasi 10 Mei di hadapan kediaman Datuk S Ambiga mungkin menjadi galakan kepada Persatuan Veteran Tentera Melayu untuk mengadakan demonstrasi "biadap" pagi ini.

Malah, tidak mustahil sekiranya perhimpunan "senaman punggung" di hadapan kediaman Ambiga pagi ini akan turut diadakan di hadapan kediamannya selepas ini, katanya.

Beliau mengulas tindakan sebuah Kumpulan 15 orang daripada Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) yang melakukan gimik demonstrasi yang dinamakan mereka sebagai "senaman punggung" – dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung mereka ke arah kediaman Ambiga.

Kumpulan berkenaan diketuai presiden PVTM, Mohd Ali Baharom yang berkata mereka berhak mengadakan demonstrasi tersebut sebagai bantahan terhadap Ambiga. 
NONE
"Saya fikir timbalan IGP ada sebut tak salah berdemonstrasi di depan rumah Ambiga. Barangkali ia agak menggalakkan (demonstrasi dibuat)," katanya ketika ditemui Malaysiakini hari ini.

Mengulas lanjut kenyataan itu, Samad berkata: "Itu biasalah undang-undang ditafsir oleh orang yang berkuasa. Bukan ditafsir orang yang tak berkuasa."

Katanya lagi, PVTM mempunyai pilihan untuk mengadakan gimik lain tetapi tetap bertindak biadap dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung mereka ke arah kediaman Ambiga.

"Ada cara lain tapi dia memang nak memilih (biadap). Dia sengaja. dia memang nak berbiadap," katanya lagi.

Samad bagaimanapun berpendapat, siri demonstrasi di rumah Ambiga tidak akan menjejaskan momentum BERSIH untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil.

"Saya tak rasa begitu. Itu sebenarnya intimidasi dan untuk menakut-nakutkan... Tidak mustahil ia akan dibuat di hadapan rumah saya nanti," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak melarang sekiranya demonstrasi "menonggeng punggung" seperti itu diadakan di hadapan kediamannya.

Namun golongan berkenaan akan berdepan dengan reaksi daripada rakyat sekiranya mereka benar-benar berbuat demikian.

"Reaksinya bukan dari saya (tapi) reaksi dari umum. Buatlah," katanya lagi.

Pak Samad mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang berkata polis tidak akan mengambil tindakan ke atas kumpulan peniaga burger yang mengadakan demonstrasi pertama di hadapan kediaman Ambiga pada 10 Mei lalu.

Khalid memberi alasan, peniaga berkenaan boleh berhimpun dan berniaga di lokasi tersebut memandangkan tindakan itu dibuat di kawasan awam dan tidak mengganggu ketenteraman.


Najib disambut laungan 'Bersih' di London




Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di satu pertemuan bersama warga Malaysia di London semalam disambut dengan laungan slogan BERSIH oleh sebahagian hadirin.

Sorakan slogan itu bermula apabila Najib mula mengambil tempat di
atas pentas dan berlarutan ketika beliau memulakan ucapannya.

Sorakan slogan itu menyebabkan Najib hilang tumpuan untuk meneruskan ucapannya dan terpaksa merayu supaya sorakan itu dihentikan.

"Bolehkah anda tolong berhenti? Boleh tolong berhenti," rayu Najib seperti dirakamkan dalam satu video yang dimuatkan di lamanYoutube.

Rayuan Najib itu disambut oleh seorang hadirin yang bertanya mengenai hak mereka untuk mengundi.
 
 "Kami mahu mengundi. Kenapa anda tak bagi kami mengundi?" tanya individu itu di majlis tersebut.

Najib kemudian cuba menenangkan kumpulan tersebut agar beliau boleh meneruskan ucapannya.

"Anda boleh jumpa saya kemudian ok...bolehkah anda tolong hentikannya?" kata Najib.

Sorakan tersebut kemudiannya surut dan Najib meneruskan ucapannya seperti biasa.

Ketibaan Najib di Arena 02, Greenwich, London,juga disambut dengan pemberian bunga berwarna kuning.

"Kuning" satu warna yang begitu sensitif yang dikaitkan dengan perhimpunan BERSIH yang menuntut pilihanraya adil dan bersih di negara ini. Sehingga kini belum ada tindakan dilakukan oleh kerajaan Najib terhadap tuntutan BERSIH 3.0 itu.