Monday, September 2, 2013

Ron 95 naik 20 sen : Rakyat susah payah, K'jaan boros

Keadaan bertambah sesak di stesen-stesen minyak seluruh negara, terutamanya di kawasan bandar, malam ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 2 September, 2013.

KUALA LUMPUR: Mesej daripada kenaikan harga minyak mudah iaitu rakyat mesti mengubah gaya hidup tetapi kerajaan boleh terus berboros. 

“Ini bukan silap ibu mengandung, tapi silap memangkah undi,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mudah untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata inflasi masih terkawal tetapi hakikatnya ringgit sedang jatuh merudum dan ditambah dengan konflik politik Timur Tengah yang tidak stabil.

“Apakah kerajaan BN, terutamanya Najib menjamin inflasi boleh dikekalkan pada paras yang selesa dengan keputusannya menaikkan harga minyak?” tanya beliau sebagai respons kepada kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula tengah malam tadi 

Katanya, selepas PRU13 hingga kini, keadaan ekonomi negara tidak banyak berubah dan langkah meningkat ringgit masih belum kelihatan. 

Oleh itu, ujar beliau kenaikan harga minyak ini sememangnya tindakan memukul diri sendiri kerana ia bakal melonjakkan inflasi tatkala ringgit semakin mengecil.

Beliau berkata, Najib harus mengingati peristiwa kenaikan minyak ke RM2.70 di zaman Tun Abdullah Badawi yang menyebabkan kos barangan dan sara hidup melonjak secara mendadak, dan sehingga kini ia kekal di paras itu, walaupun harga minyak diturunkan ke paras RM1.90.

Menurutnya lagi, meningkatkan pemberian wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan penyelesaian kepada kenaikan harga barangan. 

Katanya, jika BR1M diberi pada kadar maksimum RM1,200 untuk setahun, sebulan baru RM100. 

“Rakyat tahu betapa kecilnya RM100 hari ini lebih-lebih lagi apabila segenap harga barangan dinaikkan dengan alasan nilai import meningkat kerana ringgit mengecil dan kenaikan harga minyak,” ujarnya.

Justeru, ujar beliau PAS menyeru kerajaan BN untuk menggunakan kuasa yang ada bagi mengawal kenaikan harga barangan khususnya selepas kenaikan harga minyak yang diumumkan Perdana Menteri petang semalam.

Katanya, rakyat sanggup bersusah-payah bersama kerajaan kalau kerajaan menunjukkan pembetulan pada sikap borosnya yang keterlaluan.

1 comment:

Trulychips Health Zone said...

Harap dapat jengah2 blog ni.

http://trulychipszone.blogspot.com/