Sunday, July 3, 2011

"jangan menjadikan 9 Julai ini sebagai bukti pentadbiran Najib adalah rejim yang lebih kejam dan buruk berbanding pemerintahan Mahathir"

Hentikan “kegilaan” anti-Bersih, kata Kit Siang

1 July 2011

KUALA LUMPUR, 1 JULAI – Kerajaan Barisan Nasional diminta supaya jangan menjadikan 9 Julai ini sebagai bukti pentadbiran Najib adalah rejim yang lebih kejam dan buruk berbanding pemerintahan Mahathir yang terkenal dengan Operasi Lalang yang zalim.

Dalam satu surat terbuka kepada Perdana Menteri dan kabinetnya, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berharap kerajaan membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia mampu mengadakan perhimpunan aman tanpa menimbulkan kacau bilau.

Katanya perhimpunan awam dengan kerjasama baik polis akan dapat membuktikan bahawa Program Transformasi Kerajaan (GTP) Datuk Seri Najib Razak mampu membawa negara ke arah demokrasi matang.

Beliau mahu kabinet Najib menghentikan serta-merta “kegilaan” yang sedang berlaku terutamanya apabila polis diarahkan menangkap sesiapa sahaja yang memakai baju kuning sebagai menyokong perhimpunan aman Bersih 2.0 serta menjadikan perkataan “Bersih” sebagai sesuatu yang kotor.

Katanya amaran Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan tuduhan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar terhadap Bersih 2.0 telah menimbulkan persoalan yang serius di peringkat antarabangsa sama ada kedua-dua institusi awam tersebut mampu bebas, adil dan professional.

“Ketua Polis Negara telah mengeluarkan amaran bahawa kemungkinan akan berlaku kehilangan nyawa manakala Wan Ahmad pula menuduh Bersih sebagai tali barut kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Sedangkan, Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreevanesan sekali lagi mengulangi pendirian bahawa: “Kami akan melakukan sedaya upaya bagi memastikan perhimpunan tersebut aman… Kami cadangkan kepada polis untuk menentukan jalan yang patut kita lalui dan kita akan ikut semua arahan mereka.”

Kit Siang mengingatkan kerajaan BN bahawa slogan yang pernah diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohammad ketika mula menjadi Perdana Menteri dahulu adalah adalah “Bersih, Cekap, Amanah”.

“Lihat bagaimana merudumnya Malaysia, selepas 30 tahun, perkataan “Bersih” dijadikan alasan untuk mencetuskan penindasan polis!” katanya. – Roketkini.com

No comments: