Thursday, January 12, 2012

BOM 901 : Polis Bidas Utusan

Polis semalam memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan membuat spekulasi mengenai identiti dalang tiga letupan buatan sendiri dekat kompleks mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta Isnin lalu, sejurus selepas keputusan kes Liwat II diumumkan.

Semalam akhbarUtusan Malaysia milik Umno menyiarkan laporan muka depan yang memetik satu sumber polis yang menyatakan bahan letupan itu dibawa masuk oleh peserta perhimpunan 'Bebas Anwar 901 '.

Ditanya mengenai laporan tersebut, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Salleh berkata ia hanya 'spekulasi media'.

Beliau menggesa orang ramai supaya 'tidak menyebarkan berita seumpama itu kerana ia akan menimbulkan perasaan tidak senang'.

Bercakap kepada media selepas satu majlis di ibunegara, beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 6, Akta Bahan Letupan 1957, yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya, motif di sebalik pemasangan alat letupan itu juga tidak dapat dipastikan sehinggalah suspek ditangkap.

Bagaimanapun, kata Mohamad, secara umumnya polis merasakan kejadian letupan itu bertujuan menimbulkan huru-hara pada hari berkenaan. Empat orang cedera dalam kejadian tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Polis menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat sehingga tertangkapnya pihak yang bertanggungjawab dalam insiden letupan dalam perhimpunan 901 baru-baru ini.

Sebarang maklumat hendaklah disalurkan kepada DSP Yahya B. Abd Rahman di talian 019-470 8947 atau Bilik Gerakan IPK KL di talian 03-2146 0584/0585 atau Bilik Gerakan Bukit Aman di talian 03-2031 9999 / 03-2266 3444 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

No comments: