Dalam kejadian kira-kira 11.45 malam itu, kumpulan seramai hampir 30 orang itu dipercayai tonto dan rakan kepada pengusaha siber kafe yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian berkomputer tanpa lesen sejak empat hari lalu.
Akibat serangan itu, empat anggota penguat kuasa cedera dibelasah termasuk seorang daripadanya parah akibat ditikam di lengan.
Mangsa yang parah dikenali sebagai Azizan Abbas, 26, yang mengalami luka sepanjang kira-kira 12.7 sentimeter di lengan kanannya selepas ditikam menggunakan pisau Rambo oleh seorang suspek.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka, di sini dan kini dirawat manakala, empat lagi anggota penguat kuasa yang cedera mendapat rawatan pesakit luar.
Akibat serangan itu juga, anggota penguat kuasa terpaksa mengeluarkan kembali sejumlah komputer yang disita dan diletakkan di dalam van penguat kuasa untuk mengelak tindakan lebih ganas.
Difahamkan, sebuah van MBMB yang digunakan dalam operasi berkenaan turut dipecah suspek.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, semasa kejadian, pergelutan berlaku selepas kesemua penguat kuasa terbabit selesai menyita komputer dan membawa keluar dari premis berkenaan.
"Polis sudah mengenal pasti kumpulan yang terbabit dalam kejadian itu dan siasatan serta tindakan lanjut akan diambil," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri, di Bukit Beruang, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata, Kes terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyerang menggunakan senjata.
“Polis nasihatkan supaya mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ingin menjalankan operasi supaya mendapatkan kerjasama serta bantuan polis untuk keselamatan mereka,” katanya.
SH
Artikel sebelum ini di Blog Adlyzahari.blogspot.com
Judi : Ada Kelab Eksklusif Di DUN Ketua Menteri Melaka
PAS menuntut kerajaan negeri Melaka membanteras kegiatan perjudian di negeri itu yang didakwa semakin melarat.
Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari berkata kegiatan perjudian di negeri itu sebenarnya banyak membabitkan remaja Melayu, terutamanya pelajar sekolah.
“Judi haram di Melaka bukan perkara baru. Antara pusat judi haram terbesar di Melaka ada dalam Dewan Undangan Negeri Bukit Baru, yang ketua menteri menjadi wakil rakyatnya.
“Berselindung disebalik "Kelab Eksklusif". Berapa puluh tahun kelab itu beroperasi?
“Beranikah ketua menteri mengambil tindakan kepada jerung judi haram. Jangan mengejar bilis sahaja,” tulisnya dalam blognya.
Menurut Adly, isu judi di Melaka memang sudah lama dibincangkan tetapi tiada penyelesaian dan tindakan tegas diambil sehingga ia berakar umbi dan sukar dibanteras.
Katanya, semua itu membuktikan kegagalan kerajaan BN Melaka mentadbir negeri ini.
Adly berkata pada sidang DUN yang lalu, wakil DAP pernah membangkitkan isu berkenaan sehingga keluar dari mulut wakil kerajaan Melaka bahawa 'judi adalah budaya Cina'.
"Akhirnya isu judi ini tidak dibahaskan, tapi wakil rakyat DAP yang dihalau keluar," kata Adly.
Beberapa hari lalu kerajaan Melaka, melancarkan perang habis-habisan terhadap premis dan aktiviti judi haram.
"Macam kata pepatah Melayu, 'sudah terantuk baru tengadah, sudah terbolos baru melantai', judi haram sebenarnya banyak melibatkan remaja Melayu, terutamanya pelajar sekolah.
"Judi haram sebenarnya sudah sampai kekampung-kampung, melalui pusat siber, contohnya di Kampung Gangsa sahaja ada dua pusat judi haram," dedahnya.
Menurut Adly, persoalan sekarang ialah beranikah kerajaan negeri Melaka membanteras jerung judi haram yang sudah bertapak di Melaka lebih 20 tahun lalu.
“Jangan sampai orang gelar Melaka sebagai 'Batam Malaysia', akhirinya.
No comments:
Post a Comment