Wednesday, January 25, 2012

ENGGAN ISYTIHAR HARTA - UNTUK KESELAMATAN ATAU SELAMATKAN DIRI?

SHAH ALAM, 24 JAN : Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mempersoalkan mengapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz terlalu bimbang sekiranya aset menteri kabinet dan keluarga wajib diisytihar kepada umum.

Ia ekoran kenyataan Nazri yang mempertikai keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menyifatkan tindakan itu ‘mengundang bahaya'.

Saifuddin ketika dihubungi TV Selangor menyifatkan kenyataan Nazri itu adalah alasan paling lemah dan memberi gambaran bahawa beliau cuba menyembunyikan sesuatu selain mahu melindungi Menteri Kabinet yang menikmati kemewahan di luar kemampuan.

"Salah satu cara untuk membuktikannya adalah dengan membandingkan harta yang dimiliki seseorang (pemimpin) itu sebelum dan selepas memegang jawatan.

"Sekiranya didapati pertambahan harta bagi seseorang menteri itu berlaku selepas mereka memegang jawatan, maka rakyat bolehlah membuat satu kesimpulan bahawa kekayaan itu barangkali dimiliki melalui penyalahgunaan kuasa dan kedudukan. Itu sebenarnya tujuan yang paling mudah untuk meminta seseorang menteri mengisytiharkan harta," katanya yang juga Ahli Parlimen Machang.

Menurut Saifuddin, sekiranya seseorang pemimpin itu tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan, maka mereka tidak perlu mengadakan alasan yang dianggap cuba memperbodohkan tahap pengetahuan rakyat.

Beliau turut berpendapat, pengisytiharan harta ini boleh meningkatkan kewibawaan seseorang menteri selain berupaya menyelamatkan kedudukan mereka kerana rakyat dapat melihat ketelusan dalam urusan pentadbiran.

Tambahnya, amalan yang mengatakan bahawa memadai harta seseorang menteri itu disiytiharkan kepada Perdana Menteri sahaja juga tidak boleh diterima.

Sebaliknya, pengisytiharan harta itu perlu dilakukan di mana-mana institusi yang mempunyai kewibawaan sama ada institusi audit profesional atau institusi dalam negara.

"Perkara itu mestilah disepakati dan diterima ramai sama ada kepada institusi audit bertauliah seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang di mana Ketua Menteri dan exco mengisytiharkan harta, dan disemak oleh juruaudit serta dijadikan sebagai maklumat awam yang membolehkan rakyat menyemak kedudukan harta pemimpin.

Walaupun ada pihak yang mempertikaikan kewibawaan institusi ini, namun ianya jauh lebih baik daripada diisytiharkan kepada perdana menteri sahaja. Jadi, isu kepada siapa kedudukan harta itu diisytihar juga mestilah diteliti," tegasnya.

Isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme dan sogokan merupakan amalan yang telah lama di lakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN.

Apakah kebimbangan dan ketakutan pemimpin-pemimpin tersebut mengistiharkan harta mereka bertujuan untuk melindungi sumber harta kekayaan mereka dari pengetahuan rakyat.?

No comments: