Thursday, January 26, 2012

Ugut pengundi cina : Dewan Himpunan PAS bidas Soi Lek

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ternyata tidak berasas dan menyimpang jauh dengan realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat, terutama membabitkan kaum Cina di negara ini.

Sebaliknya, sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN) ternyata semakin merosot berbanding sokongan yang diberikan oleh mereka terhadap Pakatan Rakyat yang semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Naib Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, Vincent Lee(gambar) menegaskan, bagi PAS sendiri lebih-lebih lagi dengan adanya DHPP, sokongan kaum Cina terhadap PAS ternyata semakin kuat.

Menurutnya, perkembangan tersebut berlaku ekoran orang-orang Cina di negara ini ternyata semakin faham dengan perjuangan PAS untuk menegakkan Islam yang pasti akan memberikan keadilan kepada semua penduduk di negara ini dan ketelusan.

Katanya, dalam masa yang sama, sokongan orang-orang Cina terhadap DAP turut meningkat, sejajar dengan perjuangan parti itu yang juga untuk keadilan dan ketelusan bersama-sama dengan PAS.

"PAS adalah satu-satunya parti di negara ini yang berlandaskan agama iaitu Islam, manakala pada asasnya pula setiap agama memperjuangkan keadilan dan ketelusan.

"Itulah yang menyebabkan orang-orang Cina turut menyokong PAS, lebih-lebih lagi dengan adanya DHPP yang menjadi jambatan antara PAS dan orang bukan Islam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Chua Soi Lek ketika membangkitkan isu mengenai undang-undang Islam di negara ini mengatakan bahawa masyarakat Cina kini mula kembali ke pangkuan BN kerana mereka sedar sokongan mereka kepada DAP akan membuka jalan kepada PAS untuk berkuasa.

“PAS yang akan menjadi parti dominan. PAS yang akan memberi arahan, PAS yang akan memerintah jika mereka (pembangkang) berkuasa.

“Ini adalah sesuatu yang komuniti Cina perlu sedar - pengundi DAP berikan kuasa kepada DAP, memperkuatkan DAP (dan) membuka jalan kepada PAS yang akan berkuasa di peringkat pusat,” katanya seperti yang dilaporkan media semalam.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, PKR tidak mampu bersaing dengan parti Islam itu dalam soal organisasi, disiplin parti dan yang lebih penting, kesetiaan ahli sambil menyifatkan parti itu lebih lemah dalam gabungan tiga parti tersebut dalam Pakatan Rakyat.

Menurut Vincent, bagi orang-orang Cina di Malaysia sekarang, mereka tidak lagi boleh dipengaruhi dengan kenyataan yang bukan-bukan dari Umno BN yang memburuk-burukkan PAS kerana perjuangan PAS sudah difahami oleh mereka.

"Begitu juga jika mereka menggunakan isu hukum hudud. Ini sudah tidak memberikan sebarang kesan buruk bagi sokongan orang-orang Cina terhadap PAS kerana semua itu sudah difahami dengan jelas oleh orang-orang Cina setelah mereka memahami perjuangan PAS.

"Malah jika isu hukum hudud ditimbulkan, masyarakat Cina pasti akan tahu dengan sendirinya bahawa pilihanraya sudah semakin dekat kerana isu mengenai hukum hudud akan ditimbulkan oleh Umno BN setiap kali menjelang pilihanraya.

"Dengan itu, orang-orang Cina dengan sendirinya akan lebih bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya dengan memberikan sokongan kepada PAS," jelasnya.

Begitu juga jika ditimbulkan isu kononnya DAP perkudakan PAS, tambahnya, juga tidak akan berhasil kerana orang-orang Cina sendiri tahu realiti sebenarnya dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, setelah gagal mempengaruhi orang-orang Cina dengan isu-isu seperti itu, kini Soi Lek pula membangkitkan perkara itu untuk menghalang sokongan orang Cina terhadap DAP dan PAS, tetapi ia tetap juga tidak berhasil.

Harakahdaily

No comments: