Saturday, February 4, 2012

DAP kutuk insiden kepala babi di perkarangan masjid

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan individu yang tidak bertanggungjawab meletakkan kepala babi di perkarangan masjid baru-baru ini dan menyifatkan perkara itu dilakukan oleh pihak yang sengaja mahu menimbulkan sentimen perkauman, agama dan politik di kalangan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Ahli Parlimen Bagan itu menjelaskan tindakan tersebut sebagai kurang ajar dan jelas bertentangan dengan sifat kemasyarakatan di negara ini. "DAP mengecam insiden kepala babi dan melihatnya sebagai satu tindakan yang kurang ajar dan bertentangan dengan sifat aman dan sejahtera di Malaysia.

"Kita tidak boleh menerima atau bertolak ansur dengan penghinaan mana-mana tempat beribadat. Masjid, kuil dan gereja merupakan tempat untuk beribadat dan berlindung, dan tidak patut dinoda dengan semberono," tegasnya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Dalam masa seminggu, kepala babi telah dijumpai di luar perkarangan masjid sebanyak dua kali, dengan yang pertama berlaku di Rawang, dan disusuli insiden kedua di dijumpai di luar pintu masuk Masjid Al-Hidayah di Sentul "Rakyat Malaysia yang mahukan keamanan akan menolak tindakan yang jahat ini," tambahnya.

Sehubungan itu, Lim menggesa supaya pihak berkuasa terutamanya pihak polis akan menyiasat dengan segera dan berharap agar sesiapa yang bertanggungjawab akan ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

MI

No comments: