Tuesday, February 21, 2012

Kontrak RM 2.2 Bil, konsesi atau habuan?


Penasihat undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun menafikan dakwaan bahawa dua syarikat yang dianugerahkan konsesi lebuh raya RM2.2 bilion dan dikaitkan dengan dirinya adalah sebagai habuan atau ganjaran kerana peranannya membantu BN merampas Perak dari Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, Hafarizam berkata bahawa kedua-dua syarikat itu menghadapi "persaingan sengit" semasa proses tender. Namun pengalaman mereka menyiapkan projek landasan berkembar keretapi dari Rawang ke Ipoh sepanjang 179 kilometer diambil kira.


"Kami mempunyai rekod pencapaian yang baik (dalam projek landasan berkembar) dari Rawang ke Ipoh. (Dakwaan) habuan untuk Perak, saya fikir ini tuduhan keterlaluan.

"Ini langsung tidak mempunyai kaitan sama sekali. Kami menang atas merit! Kami adalah antara beberapa syarikat bumiputera yang dianugerahkan. Mengapa serang kami apabila ada yang lain ... Saya pasti awak juga tahu siapa yang lain yang juga dapat," katanya dalam teks pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Hafarizam diminta mengulas dakwaan oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa kerajaan persekutuan mengamalkan kronisme dalam penganugerahan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara.

Raja Petra berkata Hafarizam adalah ahli lembaga pengarah di kedua-dua syarikat - Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd yang mendapat konsesi lebuh raya itu.

Selain penasihat undang-undang Umno itu, Raja Petra juga mendedahkan bahawa seorang lagi pengarah Emrail adalah Nik Sazlina Mohd Zain, isteri bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi.

Beliau membayangkan bahawa Hafarizam dan Zaki mungkin diberi habuan untuk peranan masing-masing dalam pergelutan di mahkamah selepas BN merampas kerajaan negeri Perak pada Februari 2009.

Hafarizam adalah antara peguam yang mewakili Menteri Besar Perak sekarang, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, manakala Zaki pula adalah Ketua Hakim Negara ketika itu. Zaki bagaimanapun tidak menduduki mana-mana panel yang membicarakan kes berkenaan.

No comments: