Tuesday, February 28, 2012

Lagi pendedahan berkaitan NFCorp

Lagi salah guna kuasa NFCorp, kali ini kesalahan melanggar Akta Syarikat – kerana memberi pinjaman kepada para pengarahnya serta syarikat-syarikat lain milik para pengarahnya secara tidak sah didedahkan.

Sehubungan itu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata parti itu menuntut supaya Peguam Negara bertindak segera ke atas NFCorp, bukan sahaja dalam kes pecah amanah (CBT) tetapi juga atas kesalahan melanggar Akta Syarikat.

Semalam PKR mendedahkan bahawa syarikat berkenaan memiliki sebuah pasaraya mewah di Singapura.


Pengendali pasar raya itu yang berdaftar di Singapura, Farmhouse Supermarkets Pte Ltd dimiliki bersama oleh suami Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil - Datuk Mohd Salleh Ismail bersama dua anak mereka, Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah.

Menurut Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, Farmhouse memeterai perjanjian dengan pusat peruncitan mewah yang dinamakan Star Vista, untuk menjadi penyewa utama pusat membeli-belah itu dengan menyewa 28 unit di tingkat dua.

“Pasaraya yang diusahakan oleh Farmhouse Supermarkets Pte Ltd ini dijangka mula beroperasi dalam suku ketiga tahun ini, apabila kompleks Star Vista siap,” katanya.

“Sudah tentu perniagaan pasaraya ini akan dibiayai oleh dana awam yang disalurkan bagi tujuan penternakan lembu seperti yang dimandatkan oleh NFC, seperti yang berlaku di dalam pembelian-pembelian aset mewah lain sebelum ini,” kata Rafizi.

“Tindakan tegas perlu dilakukan segera untuk merampas kembali semua dana yang telah diselewengkan secepat mungkin dan mendakwa individu terbabit di mahkamah atas tuduhan pecah amanah dan jenayah perdagangan.

“Jika ini tidak berlaku dalam minggu ini, PKR akan melakukan pendedahan setiap minggu hinggalah Dewan Rakyat bersidang pertengahan bulan Mac ini,” kata Rafizi.

Pua pula sebelum ini telah mendedahkan bahawa perjanjian pinjaman RM250 juta di antara kerajaan Malaysia dan NFCorp hanya boleh digunakan untuk menubuhkan dan menjalankan operasi Pusat Fidlot Nasional selaras dengan dasar kerajaan Malaysia untuk membangun, mengembang dan mempromosikan pengeluaran daging lembu.

Namun, Pua berkata, jelas bahawa wang pinjaman itu telah digunakan untuk tujuan selain daripada menternak lembu, dan kesalahan ini termasuk membeli kondominium mewah di Malaysia dan Singapura, serta membuat pelaburan dalam perniagaan di Singapura.

Menurutnya, pemilikan harta dan pelaburan berkenaan dengan pinjaman kerajaan tidak dibuat melalui NFCorp tetapi melalui pengarah-pengarah individu dalam syarikat.

“Ini bermakna NFCorp telah meminjamkan wang dari kerajaan kepada pengarah-pengarah individu dalam syarikat atau terus kepada syarikat-syarikat yang mempunyai para pengarah yang sama dalam syarikat.

Menurut Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, bukan sahaja penggunaan wang itu melanggar perjanjian pinjaman, ia juga dilarang melakukan pemberian pinjaman seumpama di bawah Akta Syarikat.

No comments: