Thursday, March 8, 2012

Bot nelayan karam, seorang selamat dan rakan lemas

Telok Mas, 8 Mac seorang nelayan selamat dan rakannya lemas apabila bot mereka karam di perairan pantai di Telok Mas. Kejadian berlaku pada kira-kira jam 9.30 malam tadi apabila angin kuat dan laut bergelora. Mohd Nor 50an dari Telok Mas dan rakannya Mahmud 60an dari Semujuk, Jasin turun ke laut jam 6.00 petang semalam untuk memancing.

Menceritakan detik cemas, Mohd Nor yang mengemudi botnya melihat keadaan laut yang bergelora dan ombak semakin besar berangkat pulang jam 8.30 malam. Namun dalam perjalanan pulang beliau mengambil keputusan berlindung sementara di Pulau berdekatan kerana bimbang dengan ombak besar. Sepuluh minit kemudian beliau mengubah fikiran untuk nekad pulang ke jeti kerana berada kira-kira 3 km dari pantai.

Mereka meneruskan perjalanan namun apabila hampir tiba di muara Tg Nibong ketika beliau membelokkan perahunya, ombak besar menghempas perahunya lalu terbalik. Beliau cuba keluar dari bawah perahunya yang terbalik. Beliau dan rakannnya sempat berpaut seketika pada perahunya sebelum perahunya tenggelam. Pada ketika itu beliau masih mampu memegang baju rakannya sebelum terlepas dipukul ombak.

Beliau menggunakan segala tenaga berenang ketepi dan berpaut pada panggar kupang dan menjerit meminta tolong manakala rakannya Mahmud sudah tidak kedengaran lagi.

Rakan-rakan beliau di jeti yang mendengar jeritan meminta tolong berkejar memberi bantuan dan terus membawa Mohd Nor ke hospital.

Bomba yang tiba di tempat kejadian pada jam 11.00 malam untuk operasi mencari dan menyelamat gagal menjumpai Mahmud. Pada kira-kira jam 3.30 pagi pihak Bomba menghentikan kerja-kerja mencari dan menyelamat. Ombak besar dan air surut juga menyukarkan operasi menyelamat. Mereka menangguhkan operasi mencari pada keesokan harinya.

Yang DiPertua PAS Kota Melaka, Harun Mohamad malam tadi turut meninjau operasi mencari dan menyelamat di jalankan. Beliau yang sempat menemui anak mangsa memintanya bersabar dan berdoa semoga Allah selamatkan ayah beliau.

Pada jam 11.50 pagi tadi, pihak Bomba yang dibantu Pertahanan Awam telah menemui mayat mangsa berdekatan muara Tg Nibong. Waris dan saudara-mara mangsa yang menunggu sejak pagi lagi kelihatan sedih atas kejadian yang menimpa Mahmud.

Jenazah Mahmud dibawa ke Hosptal Besar Melaka untuk bedah siasat dan selamat di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Maju Jasin pada jam 5.30 petang tadi.

No comments: