Saturday, March 10, 2012

Rafizi minta PM buktikan bukan wang rakyat diguna biayai majlis pertunangan anak

Pengarah Stategi PKR Rafizi Ramli hari ini meminta Datuk Seri Najib menjawab lapan perkara yang dibangkitkan supaya rakyat Malaysia boleh berpuas hati bahawa majlis mewah untuk pertunangan anak beliau itu tidak ditanggung rakyat Malaysia.

Semalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan menafikan majlis pertunangan anak Perdana Menteri dibiayai oleh Jabatan Perdana Menteri serta mendesak Rafizi memohon maaf atas dakwaannya yang palsu, fitnah dan memburuk-burukkan reputasi perdana menteri.

Menurut PMO, tiada dana awam digunakan untuk membiayai majlis pertunangan anak perempuan perdana menteri itu, sebaliknya telah dibayar sendiri oleh perdana menteri dan keluarganya.

Rafizi semalam mendakwa kos berjumlah RM409,767 itu dibilkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Lapan perkara yang mesti dijelaskan ialah;

- Pertama, Najib perlu mengesahkan sama ada perbelanjaan yang tertera seperti dokumen Hotel Shangrila itu adalah perbelanjaan majlis pertunangan anak beliau;

- Kedua, Najib perlu mengesahkan sama ada dokumen Banquet Event Order (BEO) yang dikemukakan olehnya (Rafizi) adalah dokumen yang sah dan bukannya palsu;

- Ketiga, Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri
mengemukakan kepada rakyat salinan Purchase Order (dokumen tempahan) yang dihantar kepada Hotel Shangrila untuk menentukan pihak manakah sebenarnya yang bertanggungjawab membuat tempahan tersebut;

- Keempat, Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan rekod perakaunan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang merekodkan Purchase Order tersebut, bagi menentukan sama ada tempahan direkodkan sebagai tanggungan Kerajaan Malaysia;

- Kelima, Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan kepada rakyat salinan invois yang dihantar oleh Hotel Shangrila kerana ia boleh menjadi bukti bahawa ia dicaj kepada Perdana Menteri atas kapasiti peribadi beliau ataupun ditanggung oleh Kerajaan Malaysia;

- Keenam, Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan rekod perakauan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang merekodkan invois tersebut, bagi menentukan sama ada bayaran akan dibuat oleh Kerajaan Malaysia;

- Ketujuh, Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan baucer bayaran yang dibuat kepada Hotel Shangrila untuk menentukan siapakah yang mula-mula sekali menyelesaikan tanggungan belanja majlis tersebut; dan

- Kelapan, Najib perlu mengemukakan bukti bayaran yang dibuat oleh beliau dan keluarga beliau untuk menanggung perbelanjaan tersebut; termasuklah salinan cek, penyata bank atau dokumen-dokumen lain dari akaun bank peribadi beliau.

"Sekiranya perdana menteri berjaya mengemukakan dokumen-dokumen tersebut dan membuktikan tidak pernah sekalipun caj tanggungan berjumlah hampir setengah juta itu direkodkan sebagai tanggungan Kerajaan Malaysia, barulah rakyat Malaysia boleh berpuas hati bahawa majlis mewah untuk pertunangan anak beliau itu tidak ditanggung rakyat Malaysia," tegas Rafizi dalam satu kenyataan.

Jika tidak, tambahnya, perdana menteri akan berdepan dengan persepsi rakyat bahawa beliau pun tidak ubah seperti menteri-menteri lain di dalam kabinetnya yang didakwanya, menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya untuk bermewah bagi tujuan peribadi.

Menurut Rafizi, beliau menyambut baik kenyataan rasmi yang pantas dikeluarkan oleh PMO menafikan bahawa perbelanjaan majlis pertunangan anak Najib pada 17 Jun 2011 lalu dibiayai oleh wang rakyat melalui Pejabat Perdana Menteri, walaupun dokumen dari Hotel Shangrila yang mengendalikan majlis secara jelas menunjukkan semua urusan tempahan dan bayaran dibuat melalui PMO.

"Persoalan saya memohon maaf tidak timbul kerana kenyataan dua perenggan itu hanyalah satu penafian, tanpa ada sebarang bukti atau fakta yang boleh menafikan kesahihan dokumen atau tuduhan yang dibawa terhadap Perdana Menteri.

"Dalam suasana kepercayaan rakyat terhadap iltizam BN memerangi rasuah adalah sangat rendah, penafian semata-mata tidaklah mencukupi. Apatah lagi apabila dokumen yang dibawa menjadi bukti kukuh bahawa Pejabat Perdana Menteri mengendalikan urusan tempahan dan bayaran bagi majlis itu," tambahnya.

No comments: