Friday, June 15, 2012

Mat Sabu : Rahsiakan PRU, Najib tanggung dosa


Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu bertanggungjawab atas dosa umat Islam yang mahu menunaikan fardu haji sekiranya jika benar pilihan raya umum diadakan pada waktu itu.

Mohamad berkata, tarikh pilihan raya yang masih menjadi teka-teki menimbulkan keresahan umat Islam keseluruhannya yang mahu melakukan persediaan untuk mengerjakan haji.

"Teka-teki ini menyebabkan orang yang hendak menunaikan haji, mungkin tangguh atau tidak. Mungkin yang dapat tahun ini akan tangguh. Najiblah, akan memikul dosa ini semua.

"Jadi perdana menteri bertanggungjawab di atas dosa orang-orang Islam yang hendak menunaikan haji, tetapi menjadi teka teki dan persediaan dan sebagainya, kegelisahan kaum keluarga dan seluruh umat Islam di Malaysia," katanya.

Mohamad menjawab soalan kartunis Zunar dalam wawancaranya bersama saluran dalam talian Radio Bangsar Utama (RABU) di Kuala Lumpur malam tadi. 

'Mengurus negara lebih penting'

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque bertanya tentang kontroversi gesaan PAS meminta anggotanya yang terlibat langsung menangguhkan haji ekoran tarikh pilihan raya masih menjadi teka teki.

Mohamad yamg lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, "mengurus negara" melalui penglibatan dalam pilihan raya lebih penting daripada mengerjakan haji kerana ia boleh ditangguh.

Sebelum ini Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor meminta ahli PAS - khususnya calon, wakil calon atau agen parti - supaya menangguh ibadah itu jika pilihan raya berlangsung antara September hingga Oktober.

No comments: