Wednesday, June 6, 2012

PTPTN : BN balas dendam, lebih cepat tumbang PRU 13


NONE
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) "menggantung" pinjaman untuk siswa baru Universiti Selangor menunjukkan badan berkenaan menjadi ejen politik BN.

"Buat PTPTN, sekalung tahniah kerana berjaya mengesahkan bahawa mereka secara rasmi telah menjadi ejen Umno untuk melaksanakan politik dendam Umno kepada Pakatan Rakyat. 

"Tentunya tindakan ini menzahirkan satu lagi amalan diskriminasi kepada negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan nada menyindir, Shamsul turut menyarankan supaya PTPTN "meneruskan agenda membalas dendam" itu kerana berpendapat ia memudahkan tugas Pakatan meyakinkan rakyat bahawa PTPTN "relevan dan harus" dimansuhkan melalui kuasa undi dalam pilihan raya umum akan datang.

Shamsul mengulas 
laporan Malaysiakini semalam bahawa PTPTN membeku dan menangguhkan buat sementara waktu permohonan siswa baru Unisel untuk mendapatkan pinjaman berkenaan.
 

Mengulas lanjut, Shamsul berkata tindakan pembekuan itu "tidak mengejutkan" kerana sebelum ini, Umno juga yang galak mengasak kerajaan negeri supaya membiaya pengajian mahasiswa khususnya di Unisel dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). 

Ia berikutan ketegasan Pakatan menolak diskriminasi dan cengkaman hutang PTPTN ke atas mahasiswa, maka kini mereka dijadikan mangsa dengan penafian permohonan tersebut. 

Shamsul juga berkata, menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga telah membayangkan bahawa PTPTN mungkin menghentikan pembiayaan kepada mahasiswa Unisel dan KUIS.

Perkara itu diberitahu Khalid dalam satu dialog AMK bersama menteri besar, katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.


Tambahnya AMK juga telah mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya menyusun pelan tindakan untuk menanggung kos pengajian mahasiswa yang baharu mendaftar di Unisel dan KUIS.

"Justeru, AMK melihat wujud kewajaran mendesak untuk kerajaan negeri Selangor mempertimbangkan opsyen menanggung kos pengajian tersebut," katanya.




Manakala Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin perlu meletak jawatan sekiranya terbukti benar bahawa menteri tersebut mengarahkan supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional menghentikan pinjaman kepada siswa Universiti Selangor.

Katanya, beliau mengesyaki demikian kerana Khaled menurutnya "sangat gembira apabila pelajar kita tidak dapat wang (pinjaman PTPTN)."

"Di sini kita ada seorang menteri, bila ada keputusan diambil untuk hentikan pinjaman senyap-senyap kepada seribu pelajar, (bukannya) menunjukkan keprihatinan kepada kebajikan pelajar (tetapi) meraikan dan bermegah-megah mengenainya.

"Ini jelas satu perbuatan dendam," katanya lagi mengulas
kenyataan Khaled di Twitter semalam.
Katanya lagi, Khaled selaku menteri pengajian tinggi seharusnya bersikap matang dan bukannya "sikap kebudak-budakan untuk berdendam dan hukum pelajar."


"(Khaled) patut matang dan bukan salah guna kuasa untuk arahkan PTPTN terjerumus dalam politik murahan Umno," katanya lagi.


No comments: