Tuesday, June 5, 2012

SENIMAN: Utamakan artis tempatan, bukan K-pop


Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Zed Zaidi berkata artis tempatan perlu diberi keutamaan untuk membuat persembahan peringkat kebangsaan seperti ketika sambutan Hari Belia Negara 2012.

Katanya, artis dan seniman itu perlu diberi keutamaan, selaras dengan slogan untuk mendahulukan rakyat seperti yang diuar-uarkan kerajaan.



"Kalau kita buat hari belia antarabangsa, mungkin wajarlah kita menjemput artis luar negara buat persembahan.



"Kalau hendak beri peluang kepada artis luar negara biarlah berpada-pada. Kalau ada peluang, dahulukan artis tempatan," katanya.


Beliau juga percaya ekonomi tempatan akan tumbuh dengan lebih rancak jika wang sebanyak itu kekal di dalam luar negara dan dibayar kepada artis tempatan.


Malah, katanya lagi, wang sebanyak itu juga akan membolehkan lebih ramai artis tempatan membuat persembahan pada sambutan berkenaan.

Katanya, artis tempatan perlu diutamakan, tidak kira jika bayaran itu dibuat oleh penaja atau kerajaan.



Pelakon muda itu turut menjelaskan bahawa kenyataannya itu bukan menunjukkan sikap anti-artis luar negara.

"Saya selaku Presiden SENIMAN, yang merupakan kumpulan pendesak untuk memperjuangkan artis tempatan, perlu bersuara kerana artis lain takut akan digam jika mereka bercakap (tentang perkara ini)," katanya. 



Beliau mengulas isu berhubung kos sehingga AS$300,000 (RM900,000) untuk membawa tiga kumpulan pop Korea (K-pop) untuk membuat persembahan pada sambutan Hari Belia di Putrajaya 25 Mei lalu.


Jumlah tersebut dinyatakan ketua setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed, susulan dakwaan bahawa persembahan kumpulan K-pop tersebut dibayar dengan harga tinggi berbanding artis tempatan.


Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini turut menyatakan bahawa kos yang ditanggung penganjur, Stadium First Sdn Bhd untuk membawa kumpulan tersebut - Dal Shabet, Teen Pop dan U-Kiss - akan ditanggung penaja. ~MK

No comments: