Tuesday, October 23, 2012

Skandal Musa Aman cacatkan visi Najib


Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendedahkan pemberi sumbangan $16 juta wang seludup yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, selepas pengakuan awal menteri beliau bahawa wang itu adalah wang sumbangan kepada Umno Sabah, hanya menambahkan syak wasangka ke atas penipuan dan penutupan salah guna kuasa peringkat tinggi dalam koridor kuasa.

Menteri beliau, Nazri Aziz sebelum ini (11 Oktober) memberikan satu jawapan bertulis di Parlimen menafikan bahawa wang $16 juta tersebut adalah wang Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, dan mendakwa bahawa ia adalah wang sumbangan kepada Umno Sabah, walaupun pembawa wang tunai tersebut, Michael Chia Tien Foh, adalah ejen peribadi yang terkenal dan sekutu rapat Musa Aman, seperi yang akan dihuraikan selepas ini.

Dalam usaha lain untuk menolak tanggapan salah laku dalam peristiwa ini, Nazri Aziz dalam kenyataan beliau menambah bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat kesimpulan bahawa "tiada unsur rasuah dapat dibuktikan".

Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut sangat bercanggah pendirian terbaru SPRM mengenai isu itu, yang disiarkan hanya beberapa hari lebih awal.

Menjawab soalan pemberita di luar persidangan International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) yang ke-enam yang baru melabuhkan tirai di Kuala Lumpur, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Shukri Abdul berkata pada 5 Oktober: "Siasatan terhadap Musa adalah berkaitan rasuah dan kami telah selesai melakukan siasatan, tetapi panel telah mengarahkan kami untuk mendapatkan lebih banyak bukti."

Dengan “Panel", Shukri Abdul merujuk kepada panel kajian operasi SPRM, yang mengarahkan bahagian operasi untuk mengumpul bukti lanjut terhadap Musa selepas dibentangkan laporan kes itu semasa panel berkenaan bersidang Mei lalu.

Ketua penyiasatan SPRM mendakwa kes ini masih di dalam siasatan, bagaimana Nazri pada masa yang sama mendakwa bahawa SPRM telah membuat kesimpulan bahawa tiada bukti kes rasuah?

Kesemuanya Jawapan Tidak Jujur

Jelas sekali, salah satu daripada mereka berdua mesti berbohong, atau lebih berkemungkinan, kedua-duanya berbohong kerana tiada kredibiliti dalam dalam apa yang mereka perkatakan jika mengambil kira keseluruhan kes tersebut.

Nazri, tidak mungkin untuk bercakap benar, kerana dia tidak mungkin lebih tahu daripada ketua penyiasatan.

Shukri pula, bagaimana kita boleh mempercayai beliau bahawa SPRM tidak dapat membuat kesimpulan selepas siasatan selama empat tahun ke atas kes mudah seseorang yang jelas ditangkap menyeludup wang haram dengan jumlah yang besar? Lagipun, banyak bukti di Internet menunjukkan carta rumit aliran wang yang berasal dari rasuah balak di Sabah dengan Michael Chia sebagai salah satu titik penghubung yang kemudiannya berakhir dalam akaun peribadi Musa Aman di UBS AG di Zurich. 

Malah, carta yang menunjukkan pergerakan wang beserta dengan butiran akaun telah dihasilkan oleh Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC), yang satu salinannya telah dihantar ke SPRM, menurut laman web Sarawak Report, yang juga telah menyiarkan carta di http://www.sarawakreport.org/2012/04/hold-on-trust-for-aman-more-devastating-evidence-from-the-icac-investigation/. 

Ia tidak sukar untuk melihat dari carta rumit yang mengandungi akaun bank dan transaksi wang ini bahawa kejadian $16 juta hanyalah kemuncak operasi haram untuk menyalur keluar wang rasuah balak secara besar-besaran dari Sabah.

ICAC juga telah mengemukakan penemuannya kepada SPRM, dan meminta untuk mengadakan kerjasama antara negara untuk menyelesaikan kes tersebut,tetapi percubaan tersebut dilaporkan telah dihalang oleh Peguam Negara, Gani Patail.

Bolehkan SPRM menafikan bahawa mereka memiliki hasil siasatan susah payah ICAC dalam kes itu termasuk carta aliran wang yang secara tuntasnya membuktikan Musa Aman bersalah? Mungkin Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung rasuah perlu memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim untuk menjawab soalan ini.

Pendedahan Penipuan Musa

Tambahan kepada krisis kredibiliti kedua-dua Nazri dan Shukir adalah penafian oleh Musa Aman terhadap kesemua tuduhan ke atasnya.

Menjawab pelbagai tuduhan Sarawak Report antara lainnya seperti, dua anak lelaki Musa yang belajar di Australia kerap menerima sogokan balak dari akaun bank yang dikawal oleh Chia, Musa menafikan tuduhan ini dalam satu kenyataan bertulis pada 12 April, 2012 yang berbunyi:

"Saya menafikan semua tuduhan ini. Saya ingin jelaskan bahawa saya tidak mempunyai hubungan perniagaan atau apa apa hubungan sekalipun dengan individu bernama Michael Chia ".

Penafian Musa, bagaimanapun, bercanggah dengan penya-penyata bank yang dikeluarkan di Mahkamah Tinggi Singapura dalam saman sivil (Saman No.752 2010/N) pada bulan Jun yang telah dibawa oleh bekas rakan sekutu Chia dan kini seteru beliau yang melibatkan pertikaian wang.

Untuk mempertahankan kedudukannya dalam pertikaian itu, UBS AG mengeluarkan penyata bank yang jelas menunjukkan bahawa anak lelaki Musa, Mohammed Hayssam Musa dan Hazem Musa Hazem Mubarak Musa adalah penerima tetap wang yang dikirimkan dari akaun syarikat-syarikat yang Chia dakwa berada di bawah kawalannya. Syarikat-syarikat ini yang berdaftar di British Virginia mempunyai sejumlah wang tunai yang secara misteri mengalir di akaun- akaunnya adalah alat jelas pengubahan wang haram.

Oleh itu, UBS AG dan Chia, atas keperluan untuk mempertahankan kedudukan masing-masing, tanpa sengajanya telah memberikan bukti kepada mahkamah yang memberitahu kita bahawa Musa Aman telah membuat satu pembohongan terang-terangan yang ‘dia tidak mempunyai apa –apa kaitan pun dengan Michael Chia’. Lebih daripada itu, dokumen-dokumen bank ini juga mengesahkan dokumen milik Sarawak’s Reports (termasuk carta aliran yang dinyatakan di atas) yang kerap timbul dalam pendedahan usaha jahat Musa Aman sebagai raja balak Sabah.

Menariknya, menurut Sarawak Report, laporan-laporan rahsia ini adalah dokumen bocor yang bukan sahaja daripada ICAC, tetapi juga daripada SPRM, yang telah menjalankan siasatan selari mengenai rasuah balak Sabah, berikutan penahanan Michael Chia di Hong Kong pada 14 Ogos 2008 untuk penyeludupan wang dan pengubahan wang haram.

Berdasarkan sikap SPRM yang mendiamkan diri buat tempoh yang lama, dan tiadanya tindakan meskipun dengan pelbagai bukti rasuah balak Sabah di tangan mereka, adalah tidak sukar untuk kita membayangkan batasan-batasan untuk mereka beroperasi.

Umno membuktikan dirinya bersalah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pastinya tidak membantu dengan secara ringkas dan kasarnya enggan untuk mendedahkan sumber atau apa-apa maklumat yang mungkin mengurangkan graviti skandal ini. Dalam pertemuan dengan pihak akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional pada 12 Oktoober, dia cuba untuk membersihkan insiden kotor ini dengan mengatakan "Setiap parti politik mempunyai hak untuk menerima sumbangan politik selagi ia dilakukan dengan cara yang betul" . Beliau menambah bahawa jumlah derma adalah tidak relevan, dan mengulangi proviso "Selagi ia dilakukan dengan cara yang betul".

Ia benar-benar membingungkan bila difikirkan bahawa Perdana Menteri boleh menganggap cara yang pelik untuk menyampaikan sumbangan itu sebagai "cara yang betul".

Kita mungkin perlu mengingatkan Perdana Menteri bahawa penyeludupan wang dan pengubahan wang haram adalah kesalahan jenayah yang serius, di mana Michael Chia perlu didakwa, disabitkan kesalahan, dipenjarakan dan dirampas wang tunainya, kalau bukan kerana keengganan Kerajaan Malaysia untuk berkerjasama dengan pihak berkuasa Hong Kong.

Dan kerana Michael Chia hanyalah seorang penghantar, maka tuan yang Chia berkhidmat untuknya – UMNO – adalah jauh lebih bersalah.

Dalam mana-mana negara demokrasi, penguatkuasa undang-undang akan mengambil tindakan berikutan pengakuan terbuka Perdana Menteri yang melanggar undang-undang; tetapi sudah tentu, di negara yang semuanya boleh, tiada apa-apa yang berlaku – Tiada apa-apa untuk kita kecohkan?

Skandal terbaru ini hanyalah salah satu daripada banyak kes yang tidak henti-henti muncul menjelang pilihan raya. Ia hanya mengukuhkan fakta bahawa transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri kita yang sendiri mengaku sebagai “reformis" adalah ilusi dan bukan kebenaran.

Untuk visi beliau pula, "demokrasi terbaik" dan status "negara maju" dalam tempoh terdekat, bukankah ia hanyalah angan-angan yang tidak akan kesampaian?

No comments: