Monday, January 9, 2012

Adam Adli digantung pengajian 3 semester


Aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim digantung pengajian selama tiga semester atas tuduhan mencemarkan reputasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Penggantungan pelajar tahun ketiga jurusan Mengajar Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) peringkat sarjana muda itu berkuatkuasa serta merta.

Pelajar 22 tahun itu ditahan dan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib universiti berkenaan hari ini atas dakwaan terbabit dengan perhimpunan menuntut kebebasan akademik pada 17 Disember lalu.

Adam mencetuskan kegemparan apabila beliau menurunkan bendera yang tertera gambar Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur dan menggantikannya dengan kain rentang propelajar.

Beliau kemudiannya memberitahu pemberita bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan universiti itu.

"Saya tak kisah gantung, gantunglah saya. Kita akan terus lawan di mahkamah luar… Kita akan umumkan bila kita fail (permohonan)," katanya. Beliau tidak akan merayu terhadap keputusan itu walaupun diberi peluang.

"Saya diberi peluang untuk merayu, tapi buat apa saya nak merayu pada orang sebegini," katanya lagi.

Dalam prosiding itu, anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, beliau dimaklumkan dalam sesi itu bahawa akibat perbuatannya menurunkan bendera Najib, "satu Malaysia berbalah".

Beliau juga menyifatkan keputusan terhadapnya tidak menghormati kebebasan akademik dan sangat bias kerana melibatkan juri yang terdiri daripada "orang Umno".

Panel lapan juri untuk prosiding itu antaranya Prof Datuk Dr Zainal Kling.

"Saya tak faham macam mana orang ini boleh bergelar professor.Jadi selepas berbalah, saya pun malas cakap banyak, saya tahu inilah mahkamah AUKU yang saya tidak pernah mengiktirafnya, (dan) saya digantung selama 3 semester," katanya. Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia akan memfailkan kes penggantungan Adam Adli di Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan tersebut berkait tindakan Adam Adli menurunkan bendera bergambar muka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di bangunan PWTC, 18 Oktober lalu dan terlibat dalam demonstrasi di hadapan UPSI, 31 Disember lalu.

Adam Adli merupakan pelajar semester kelima dan berbaki satu semester lagi sebelum menamatkan pengajian. Manakala bagi sebuah Ngo Jingga 13 dalam satu kenyataan hari ini merasakan keputusan itu adalah tidak wajar dan ternyata berat sebelah serta membuktikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang diamalkan kini semakin menekan dan membunuh pembangunan sahsiah mahasiswa dan kecenderungan positif mereka.

“Adalah satu kerugian buat negara dan institusi perguruan itu yang telah menggantung mahasiwa yang begitu progresif dan berani menyatakan pendiriannya secara tegas di sebalik mahasiswa lain yang terjerut dengan akta terbabit,” “Proses ini adalah satu tempoh matang buat Adam Adli yang akan membuka jalan kepada kebebasan akademik yang lebih sempuna pada waktu-waktu mendatang. Syabas Adam Adli Abdul Halim,”katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

No comments: