KUALA LUMPUR, 25 Feb: Himpunan Hijau 2.0 yang akan berlangsung esok tercetus setelah beberapa perbincangan dengan pihak bertanggungjawab menemui jalan buntu.
Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar (gambar) berkata, PAS sangat kecewa dengan maklum balas daripada beberapa pihak seperti Jabatan Alam Sekitar Pahang dan pejabat Menteri Besar sendiri berhubung kerisauan mereka mengenai risiko projek pembinaan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan.
"Bantahan kita dan himpunan esok berdasarkan beberapa perbincangan, bukan terus kepada perhimpunan.
"Pada mulanya kita mengadakan perbincangan dan dialog dengan pihak berkuasa dan saya sendiri pernah mengeatuai perbincangan dengan agensi kerajaan termasuk dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," kata beliau kepada Harakahdaily semalam.
Malah katanya, sesi dialog juga sepatutnya diadakan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, namun beliau enggan bertemu dengan pihaknya mahupun menerima memorandum bantahan.
"Sebelum bertemu pihak yang lebih tinggi, Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) terlebih dahulu menyerahkan memeorandum ke pejabat Menteri Besar Pahang tapi beliau enggan bertemu dengan kita," katanya yang merupakan penasihat Badar.
Justeru katanya, perhimpunan esok merupakan kemuncak kepada usaha sebelum ini dan sebagai tanda solidariti lebih 80 badan bukan kerajaan (NGO) bersama penduduk Kuantan yang sedang berhadapan bahaya.
"Himpunan ini tidak ada perarakan hanya menghimpunkan rakyat seluruh negara dan khususnya rakyat Kuantan untuk menyatakan hasrat dan menyatakan pandangan dan isi hati mereka di atas pelaksanaan operasi kilang Lynas di Kuantan.
"Kita akan berhimpun secara aman ada pembacaan sajak oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan ada sedikit ucapan oleh NGO-NGO dan pemimpin politik.
"Selepas itu NGO-NGO akan menyatakan deklarasi mereka berkaitan pembangunan kilang lynas yang berisiko tinggi ini, mereka akan tandatangan bantahan mereka dan mereka akan buat penyataan secara beramai-ramai," katanya.
Sementara itu, perhimpunan esok berpindah ke Padang Kemunting, kira-kira setengah kilometer dari tapak asal himpunan iaitu Padang MPK.
~HD
No comments:
Post a Comment