Wednesday, February 29, 2012

Lokasi pasaraya salah, PKR mohon maaf

Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli mengakui kesilapannya berhubung lokasi pasaraya yang didakwa dimiliki National Feedlot Corporation (NFC) di Singapura.

Ketika ditanya, beliau hari ini mendakwa, lokasi sebenar pasaraya itu ialah Rochester Mall yang terletak di Rochester Drive, Singapura dan bukannya di Star Vista Mall seperti yang didakwanya semalam.

Jelasnya, kedua-dua pusat membeli-belah itu terletak berdekatan di antara satu sama lain dan petugasnya yang membuat pengesanan itu telah berkunjung ke lokasi yang salah. "Orang kita yang pergi kesan itu buat kesilapan. Mereka pergi ke pusat membeli belah yang salah.

"Kita telah periksa semula. Mereka dapati (lokasi pasaraya) itu di satu lagi pusat membeli-belah – Rochester Mall," katanya. Bercakap ketika dihubungi Malaysiakini hari ini beliau berkata Rochester Mall juga telah dibuka dan beroperasi sejak beberapa lama. Dalam kenyataannya, Rafizi berkata beliau memandang berat kesilapan tersebut, ekoran kenyataan daripada pemilik Star Vista bahawa kompleks beli belah itu tidak mempunyai kaitan dengan pasaraya berkenaan – Farmhouse Supermarket Pte Ltd.

Beliau turut memohon maaf secara terbuka kepada syarikat pemilik pusat membeli belah Star Vista dan juga kepada NFC atas kesilapan fakta itu.

"(Namun) ia tidak memadamkan pelbagai persoalan yang timbul mengenai pembabitan NFC di dalam operasi pasaraya mewah di Singapura," katanya.

Beliau percaya bahawa kesilapan yang dilakukannya hanyalah berhubung alamat sebenar premis berkenaan manakala maklumat lain yang didedahkannya semalam adalah "tepat."

No comments: