Friday, March 2, 2012

Surat menyurat Mahathir bukti Malaysia iktiraf Israel

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan ucapan tahniah yang ditujukan atas pelantikan Ehud Barak sebagai Perdana Menteri Israel bukti pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad selama ini.

Beliau menyifatkan ucapan tahniah itu sama seperti memberi pengiktirafan kepada Israel.

“Terima kasihlah kepada Tun Mahathir yang memberitahu satu Malaysia yang beliau mengiktiraf Israel.

“Mengiktiraf kemenangan pemimpin itu bermakna beliau mengiktiraf pembentukan negara Israel,” katanya kepada pada sidang media di Ibu Pejabat Pas,

Menurut Mahfuz beliau percaya dasar dan polisi dengan Israel yang dibawa pada zaman Dr Mahathir itu masih diteruskan hingga ke hari ini.

Rabu lalu kerajaan telah mendedahkan tiga surat Dr Mahathir kepada tiga Perdana Menteri Israel yang jelas menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel.

Bagaimanapun, kandungan surat yang tertulis ucapan tahniah di atas kemenangan pemimpin Israel itu dalam perenggan pertama itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tiga surat itu adalah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasar mengenai Palestin.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, beliau berkata, ia adalah surat Dr Mahathir kepada Yitzhak Rabin bertarikh 21 Disember 1993, kepada Benyamin Netanyahu bertarikh 14 Mac 1997 dan Barak bertarikh 8 Jun 1999.

BN pura-pura

Semalam Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata pendedahan surat-surat yang ditulis Tun Dr Mahathir Mohammad kepada tiga Perdana Menteri Israel – Yitzhak Rabin, Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak mengesakan kebenaran dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membuktikan sikap kepura-puraan Dr Mahathir selama ini.

Beliau berkata, Mahathir sering tampil dengan imej luaran yang mengambil sikap keras dengan Israel dan memfitnah Anwar sebagai ‘pro-Yahudi’, namun secara senyap-senyap rapat dengan pemimpin Zionis.

“Mahathir pula bertemu dan berhubungan dengan PM-PM Israel dan menegaskan berulang kali keinginannya mengadakan hubungan antara Malaysia dengan Israel. Malah hasrat ini dilahirkan menerusi tulisan tangan di dalam suratnya kepada Yitzhak Rabin.

“Pendedahan ini telah mengesahkan apa yang dikatakan PKR selama ini. Mahathir dan Najib harus menghentikan kepuraan ini,“ katanya.

Sebelum ini kata Saifuddin lagi, Anwar diserang teruk oleh pemimpin dan media Umno-BN apabila disoal akhbar antarabangsa Wall Street Journal berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin.

Ketika itu, Anwar menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi.

Sikap berbaik dengan Israel itu juga kata Saifuddin diteruskan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang melantik APCO sebagai perunding kerajaan BN.

Sedangkan ujarnya, antara penasihat APCO adalah Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel.

“Kerajaan Malaysia juga selama ini mengambil sikap berat sebelah di dalam isu Palestin dengan hanya mengiktiraf Fatah, tanpa mengambilkira Hamas yang telah dipilih rakyat Palestin.

“Ini membuktikan kerajaan Umno-BN tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat dan Israel,” tegasnya.

~HD

1 comment:

suratexpress9 said...

Salam,

Kini terdapat cara yang mudah menguruskan surat yang banyak dengan penggunaan Sistem Pengurusan Surat