Saturday, March 24, 2012

Pakatan Melaka pertikai pembinaan menara telekomunikasi

Tindakan kerajaan negeri Melaka meluluskan projek pembinaan menara telekomunikasi di beberapa kawasan masjid dan surau di negeri tersebut menimbulkan tanda tanya.

Ia berikutan pembinaan yang didakwa tidak kena pada tempatnya itu dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan jangka masa panjang penduduk berdekatan berikutan projek tersebut mendatangkan kesan radiasi.

Antara yang bangkit mempersoalkan perkara itu, beberapa pemimpin dari Pakatan Rakyat yang mendakwa pembinaannya tidak mengikut spesifikasi Suruhanjaya Telekomunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM).

ADUN Ayer Keroh dari DAP, Khoo Poay Tiong (atas, kiri) mendakwa, setakat ini terdapat kira-kira sembilan menara sudah dibina membabitkan kawasan surau dan masjid antaranya, Masjid Ubudiah, Ayer Keroh, Masjid Tun Khalil, Tangga Batu dan Surau Taman Peringgit Jaya.

Selain itu, katanya menara seumpama itu turut dibina di Surau Semabok Jaya, Semabok, Surau Taman Datuk Tamby Chik Karim, Batu Berendam, Surau Taman Ara Ehsan, Batu Berendam, Surau Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Surau Taman Tun Raha, Bukit Katil dan Surau Taman Jati, Batu Berendam. Meraih keuntungan

"Pembinaan yang dimulanya pada tahun lalu itu dibangunkan oleh sebuah syarikat swasta dan mereka meraih keuntungan menerusi hasil sewaan kepada syarikat telekomunikasi sebagai pemancar antena.

"Projek itu sudah disahkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika sidang DUN tempoh hari di mana ketua menteri menjelaskan kos pembinaannya berjumlah RM300,000 yang ditanggung oleh kontraktor.

"Saya difahamkan penempatan menara di kawasan terbabit dengan cara sewa sebanyak RM750 sebulan yang akan dibayar kepada Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan jumlah yang sama juga akan dibayar kepada pihak jawatankuasa masjid dan surau terbabit," katanya.

Beliau semalam ditemui ketika meninjau menara telekomunikasi yang dibina di Taman Jati, Batu Berendam bersama Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari.

Khoo mendakwa, garis panduan pembinaan menara yang dikeluarkan oleh SKMM, meliputi menara yang dibina tidak melebihi 45 meter haruslah dalam jarak minimum 30 meter dari kawasan kediaman.

Jelasnya, menerusi tinjauan, menara yang dibina di Taman Jati mencapai ketinggian, kira-kira 70 meter manakala jaraknya pula tidak sampai 30 meter dari kediaman.

"Kita khuatir akan menjejaskan kesihatan penduduk di sini terutama jemaah yang datang ke surau khasnya kanak-kanak. Kita nak kerajaan kaji semula tentang kelulusan projek ini dan perlu mengikut spesifikasi.

"Kalau kurang daripada 30 meter, saya rasa harus minta mereka hentikan projek ini. Kita tidak membantah mereka bina menara ini apatah lagi memberi pendapatan kepada Maim dan masjid tetapi isunya adalah soal kesihatan," katanya. Jadi tak selamat

Sementara itu, Adly berkata, secara asasnya surau dan masjid adalah untuk orang ramai berhimpun jadi dengan terbinanya menara ini ia menjadikan kawasan itu tidak selamat.

"Sepatutnya, lagi lama duduk di surau lagi selamat dan tenang tetapi kini jadi tidak selamat. Kerajaan negeri harus merujuk balik garis panduan dan kepentingan rakyat, jadi inilah yang kita buat bantahan.

"Kalau kita tengok selalunya menara telekomunikasi di atas bukit, jauh daripada orang ramai, bukannya seperti mana yang dibina di sini," katanya.

Adly (kanan) turut menjelaskan, pihak terbabit juga menjadikan menara tersebut sebagai tempat meletakkan alat pembesar suara untuk kegunaan sewaktu azan dilaungkan.

"Namun, itu tidak boleh dijadikan alasan kerana tujuan utama adalah untuk meraih keuntungan oleh pihak-pihak tertentu.

"Mustahil sebuah syarikat swasta hendak melabur sehingga RM300,000 untuk membina sebuah menara semata-mata untuk tujuan azan sekiranya tidak ada maksud tersembunyi iaitu bermotifkan keuntungan seperti yang dijelaskan.

"Saya difahamkan mereka merancang untuk membina sebanyak 40 buah menara seumpama itu di negeri ini," katanya.

No comments: