Saturday, March 3, 2012

Samseng Umno baling telur, jerit kata lucah

MELAKA - Umno Barisan Nasional kian terdesak dalam usahanya mempertahankan kuasa, apabila terus membiarkan penyokongnya berkelakuan ganas dan samseng, kata Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin. Beliau mengulas tindakan terbaru sekumpulan ahli Umno membaling telur dan menjerit perkataan lucah dalam ceramah anjuran Pakatan Rakyat di Kampung Kerubung, Melaka- salah satu kubu kuat Umno di negeri itu- malam tadi (2 Mac).

“Samseng umno melakukan provokasi termasuk mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah terhadap penceramah Pakatan Rakyat.

“Malah, semasa S Kesavan (Adun KEADILAN Perak) berucap, secara tiba-tiba dua dari samseng Umno itu membaling telur dan mengenai penduduk kampung yang hadir.

“Salah seorang dari samseng Umno itu dikenalpasti sebagai pemimpin cawangan Umno yang turut menjerit-jerit terhadap kita semasa ceramah berlangsung,” kata Shamsul kepada keadilandaily.

Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN berkata, penduduk kampung sendiri malu dan meluat dengan gelagat tersebut, namun hanya mampu meminta supaya penceramah Pakatan Rakyat bersabar.

Ekoran kekecohan itu katanya, sebuah van dan empat kereta peronda datang bagi mengawal keadaan.

Beliau dalam pada itu merasa kesal kerana penceramah yang hadir pada malam itu hanya mahu memberi penerangan mengenai perbezaan dasar negeri Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional di Melaka.

“Kita menerangkan dasar ini pada rakyat kerana mereka berhak tahu apa yang kita tawarkan jika diberi mandat sebagai kerajaan baru.

“Lagipun, media Umno langsung tidak memberi kita peluang menerangkan dasar ini walaupun sekadar setengah jam di media rasmi kerajaan,” tegasnya.

Kejadian keganasan penyokong Umno itu merupakan rentetan dari siri keganasan yang berlaku di Pahang, Pulau Pinang dan Johor.

Sebelum ini, penyokong Umno bertindak ganas apabila menyerang ceramah yang dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sembrong, Johor dan turut merosakkan kereta milik ketua Umum KEADILAN itu.

Di Pahang pula, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar hampir dicederakan penyokong Umno dalam satu majlis ceramah di Felda Lapar Hilir 1 di Gambang.

Manakala di Pulau Pinang pula, penyokong Umno bertindak ganas menyerang Himpunan Anti Lynas, yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng- menyaksikan dua wartawan cedera.

No comments: