Thursday, October 11, 2012

Hakim kekalkan hukuman penjara, denda RM 400 ribu MP BN Sabak Bernam

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM400,000 terhadap Anggota Parlimen Sabak Bernam Datuk Abdul Rahman Bakri dan pembantunya Rosli Busro yang didapati bersalah atas lapan pertuduhan melakukan tuntutan palsu melibatkan RM80,000 empat tahun lepas.

Walaubagaimanapun peguamnya berjaya mendapatkan penangguhan hukuman sehingga menjelang petang semalam.
    
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas menolak rayuan mereka untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh Azman Teh pada 1 Mac lepas. 
    
Dalam penghakimannya, Akhtar berkata Abdul Rahman menghadapi lapan  pertuduhan membuat tuntutan palsu ketika menjadi ADUN Sungai Air Tawar sementara Rosli didakwa bersubahat dengannya melakukan kesemua kesalahan itu.
      
"Justeru saya berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kesilapan apabila menerima keterangan kedua-dua saksi ini. Jelas daripada keterangan mereka bahawa kedua-dua tertuduh jelas mempunyai niat untuk membuat tuntutan palsu," katanya.
    
Akhtar berkata perkara itu terbukti apabila wang yang diterima bukan digunakan untuk program atau aktiviti seperti dalam tuntutan tetapi lebih kepada untuk kegunaan sendiri.
    
Abdul Rahman, 47, didakwa menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat ADUN mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak pernah dijalankan.
    
Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cendera mata dan jamuan Program Motivasi Pelajar Peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana Peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas.

No comments: