Tuesday, October 30, 2012

Kelab Penyokong BN tolak AES


KUALA LUMPUR - Naib Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBCBN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, sebahagian ahli kelab itu mahu kerajaan  menimbang dan memperhalusi pelaksanaan Sistem Pengkuatkuasaan Automatik (AES).

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata demikian ketika ditemui di lobi Parlimen malam tadi.
"Dalam BBCBN kita masih belum ada pendirian. Apa yang berlaku ialah ahli-ahli Parlimen menyuarakan pendapat setiap individu. Tidak ada mesyuarat khusus untuk kita membincangkan isu AES.

"Sebenarnya isu ini agak rumit sedikit. Ada yang menyokong, tidak ada yang membantah tetapi ada yang meminta supaya AES ini diperhalusi, letaklah lebih papan tanda. Ada yang meminta di kawasan-kawasan yang ada 30, 40 meter ini diletakkan AES," ujar beliau yang juga Setiausaha Umno Sabah.

Semalam, Pemuda Umno mengambil pendirian mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES sehingga kajian menyeluruh dilakukan.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berharap Kabinet yang bermesyuarat minggu ini dapat memutuskan berkenaan hal terbabit.

“Pemuda desak kerajaan tangguh AES. Kaji semula," kata beliau, yang juga Ketua Pemuda BN.

Sementara itu, Abdul Rahman ketika diminta mengulas menambah, beliau secara peribadi merasakan AES ini adalah cara terbaik dalam mengurangkan kadar nahas jalan raya di negara ini.

"Sudah tiba masanya kita mengenakan syarat-syarat seperti ini. Dari segi pendidikan kita sudah buat. Inikah sahaja caranya? Sebab 7,000 kematian berlaku di atas jalan raya kita," katanya.

Kelmarin, empat Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan AES.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan.

"Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali," katanya.






~Sinar Harian

No comments: