Sunday, October 7, 2012

Mahathir sedang pertahankan diri


Mahathir Mohamad tidak habis-habis hendak menunjukkan diri cerdik sementara orang lain semuanya bodoh, boleh ditipu seperti mana dia mempermainkan rakyat dan juga pencabar-pencabar politiknya selama ini.

Selama ini Mahathir telah beberapa kali memperdayakan Tengku Razaleigh Hamzah sehingga ahli parlimen itu tertidur di hujung kakinya. Dia juga berjaya mengehelkan Musa Hitam, memperolak-olokkan Ghafar Baba dan paling zalim memenjarakan Anwar Ibrahim. Semua dilakukan kerana demi survive politiknya. Mahathir seorang kawan yang makan kawan atau bapa yang makan anak.

Mahathir juga melakukan apa saja yang beliau hendak lakukan kepada Abdullah Badawi sehingga akhirnya Abdullah serabut tidak senang untuk mentadbir parti dan kerajaan akhirnya berundur dengan terhormat. Mahathir tidak pernah berhenti dari terus merasakan dia hebat dan orang lain semuanya bodoh. Apakah ini rahsia dan resipi bagi seorang politik seperti beliau yang tidak pernah puas dengan kuasa?

Terbaru dia bermadah berbunyi;  satu undi untuk pembangkang merupakan satu undi untuk penyangak mata wang Soros. Satu undi untuk Soros pula katanya undi untuk menukar kerajaan yang ada hari ini kepada kerajaan baru. Mahathir terus-terusan menuba rakyat agar terus mengekalkan kerajaan yang ada hari ini walaupun dia sendiri tahu akan kebobrokkannya kerana dia sendiri adalah pelakon dan pemain utama.

Begitulah madah dan ‘sabda’ Mahathir dalam memastikan kerajaan usang Umno yang beliau tinggalkan kerana dipaksa itu. Mahathir melakukan apa saja dan idea yang dizahirkan lebih canggih dan jahat dari Najib. Dia kini mendahului Najib dalam kempen memastikan UBN kekal. Kenapa? Seperti mana sudah diketahui Mahathir berbuat demikian kerana untuk mencapai agendanya. Mahathir yang menanam bunga dan bunganya sudah mula berbunga pasti tidak mahu ada kumbang yang berterbangan!

Pada saya ia kesungguhan Mahathir itu bukan kerana dia hendak membantu Melayu atau mewujudkan keadaan dan suasana harmonis di negara ini. Sebaliknya semua dilakukan ada kepentingannya. Kalau Mahathir ikhlas untuk memartabatkan Melayu dan mewujudkan masyarakat harmonis, apakah selama 22 tahun sebagai perdana menteri, selama lapan tahun sebagai timbalan perdana menteri dan selama lebih 30 tahun sebagai ahli parlimen beliau tidak berusaha ke arah itu?

Kalau dia sudah berusaha tetapi tidak berjaya bermakna Mahathir gagal sebagai seorang pembina nusa dan bangsa. Mahathir seharusnya sedar dan insaf mengenai perkara ini. Pembangunan material yang wujud di zamannya bukan sesuatu yang boleh dibanggakan kerana kehidupan manusia itu ada dua aspek penting penting, jasmani dan rohani. Mahathir amat dhaif dalam membawa pembangunan manusia. Itu sebab dia gagal dan jiwanya kini keresahan.

Justeru setelah Abdullah Badawi mengambil alih pemerintah beliau cuba memberi keutamaan kepada pembangunan manusia yang terlupa dibuat Mahathir. Abdullah fokus kepada soal-soal ketamadunan bangsa menerusi sakhsiah dan juga memartabatkan aspirasi bangsa seperti agama dan budaya. Abdullah juga berusaha mengendurkan ketegangan Melayu di mana di era Mahathir Melayu berada dalam ruang krisis kepercayaan besar sesama sendiri. Abdullah melihat keadaan itu menyebabkan Melayu berpecah belah.

Namun malangnya Mahathir yang berfahaman sekular dan melihat manusia membangun dalam belitan kebendaan (maddiyah) menolak idea dan harapan Abdullah, bukan setakat itu saja bertindak menyerang Abdullah siang dan malam. Mahathir sama sekali tidak percaya kepada politik perdamaian, atau damai boleh memuaskan hatinya. Selama dia menjadi presiden Umno beliau tidak pernah mendekatan orang Melayu untuk berdamai. Kehebatan dan kekuasaan Umno menjadikan dia lupa kepada rakan dan kawan.
Seingat saya beliau tidak pernah mengajak Pas untuk bersama membangun negara. Beliau tidak habis-habis mengecam Pas dan memberi konotasi buruk terhadap Pas kepada orang Melayu. Makanya hari ini walaupun (saya percaya) ada keinginan Mahathir untuk mempelawa Pas mengukuhkan politik Melayu tetapi beliau tidak tergamak untuk membuka mulut kerana mengenangkan kepada kezaliman dan keegoannya selama ini.

Kembali membaca apakah motif Mahathir kini beriya untuk mempertahankan kerajaan UBN, sehinggakan menghimpun semua isu dan cara memburukkan Anwar Ibrahim ia bukan dibuat atas dasar atau pun aspirasi tadi melainkan untuk dirinya dan anak beranak saja. Mahathir kini terdesak untuk mempertahankan dirinya dan juga memastikan kehidupan, kekayaan anak-anaknya terjamin dan selamat.

Sebagai bapa kronisme Mahathir akan bertindak begitu. Dia seorang yang materialistik dan individualistik  yang menggunakan rakyat untuk memakai mahkota sebagai pemimpin. Sebenarnya, hakikat itu tidak ada sama sekali kepada Mahathir. Mahathir tidak pernah mengenal soal ukhuwah, soal perpaduan soal perdamaian dan kerjasama sebangsa. Apa yang dia insaf dan sedar ialah perbalahan, adu domba, memperlekehkan orang lain. Mahathir seorang manusia yang hidup atas perpecahan orang Melayu yang beliau tidak iktiraf sebagai kaumnya. Malangnya masih ada 'bagero-bagero' Melayu yang menganggap Mahathir sebagai wira dan pembela mereka, yang tersihir dengan senyuman manis Mahathir yang di dalamnya mempunyai racun berbisa.

Namun Melayu yang mudah mati kuku dan hilang ingatan terus memuja dan ada yang mencium punggung Mahathir disebabkan kerana Mahathir menghulur sedikit baksis baik menerusi projek atau jawatan. Orang-orang ini lupa bahawa dia sudah berada di bawah tapak kaki penipuan seorang Mahathir. Manusia yang tidak ada adat dan prinsip ini akan merelakan selamanya dirinya menjadi 'kooli'.

Mahathir juga hipokrit mengenai prinsipnya yang dianggap tegas dan keras. Kononnya dia membenci Soros, menganggap Soros penjajah baru, maka itu jugalah yang diajar kepada rakyat. Tetapi dalam masa sama beliau berpelukan dengan Soros. Apakah erti semua itu kalau ia bukan munafik?

Mahathir hanya berani berkokok menghentam Soros atau mana-mana pemimpin zalim di dunia terutamanya pemimpin barat tetapi tatakala berjumpa mereka Mahathir menjadi seperti tikus kebahasan; lari mencari celah untuk bersembunyi. Standard Mahathir semasa dia menjadi PM jauh ke bawah berbanding dengan Recep Tayyip Erdogan.

Percayalah usaha keras Mahathir untuk mempertahankan kerajaan UBN hari ini bukan demi Melayu dan masyarakat majmuk negara ini tetapi demi dirinya sendiri.  Bukan untuk memastikan Najib Razak terus menjadi PM, tetapi kerana untuk menjamin agenda peribadinya tercapai. Pertama memastikan kehidupan dan kekayaan anak-anaknya yang dipunggah sendiri oleh beliau semasa menjadi PM tidak terganggu dan terburai, kedua untuk menjamin dia akan selamat dan tidak akan dihumban ke dalam penjara atas dosa-dosa dan jenayah kepada negara dan bangsa yang beliau lakukan.

Inilah yang ditakuti Mahathir. Beliau sangat phobia apa yang berlaku dan menimpa Saddam Hussein, Ghadafi ataupun Hosni Mubarak. Kesengsaraan dan nasib malang dihadapi para diktator itu menjadikan Mahathir tidak nyenyak tidur. Pilihan nanti bagi Mahathir bukan saja menentukan hidup mati kerajaan UBN tetapi juga menentukan apakah nasibnya ke dalam atau di luar.

Hari ini kesalahan dan jenayah negara dilakukan Mahathir masih terselindung, tetapi percayalah selepas kekuasaan atau kuasa melindunginya runtuh segalanya akan 'terbahar' dan terselek. Saat itu tidak ada ruang lagi untuk Mahathir menyembunyikan mukanya. Rasanya rakyat negara ini teringin melihat Mahathir menangis di penjara.


No comments: