KAMPAR: Pelajar Universiti Utara Malaysia
(UUM), KS Bawani yang mencetuskan fenomena listen berkata, penyebaran
video tersebut menunjukkan kepada rakyat tentang usaha pihak tertentu untuk
menarik sokongan mahasiswa di universiti dalam suasana PRU13 yang semakin
hampir.
Menurutnya, program tersebut adalah salah satu
agenda untuk 'brainwash' mahasiswa supaya tidak memberi sokongan kepada
pembangkang.
"Kini rakyat di seluruh Malaysia telah
membuka mata dan mengetahui apa yang berlaku di dalam universiti," katanya
kepada Harakahdaily yang bertemu beliau di kediamannya di Air Kuning, Kampar
semalam.
Bawani menjelaskan, program yang diberi tajuk
Forum Mahasiswa dan Politk itu membangkitkan pelbagai isu politik di negara ini
khususnya melibatkan mahasiswa.
Program yang bermotif politik itu, katanya
turut diisi dengan pelbagai video yang mengutuk pembangkang seperti Himpunan
Bersih, isu kontroversi melibatkan Nurul Izzah dan Himpunan Hapus PTPTN.
Jelasnya, pelbagai isu telah diceritakan oleh
panelis termasuklah mempertikai protes PTPTN oleh mahasiswa dan mengatakan
tuntutan pendidikan percuma tidak masuk akal.
"Saya cuba bangun mencelah untuk
memberikan pandangan tetapi tidak dilayan dan saya menunggu sesi soal jawab.
"Namun semasa sesi soal jawab saya tidak
sempat kerana hanya dua soalan yang boleh ditanya dan saya mengambil keputusan
ke pembesar suara dan memberikan pandangan berhubung apa yang dibangkitkan.
"Saya terus memberikan hujah-hujah
terutama isu pendidikan percuma tetapi belum sempat menghabiskan ucapan,
moderator yang juga Presiden Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen Syed
Shah Miskin telah enggan memberi saya peluang untuk menghabiskan ucapan saya
dengan mengatakan listen, listen, listen seperti yang dapat dilihat di
video itu," jelasnya lagi.
Tegas beliau, ini adalah satu penindasan kepada
mahasiswa yang berhak bersuara dan memberikan pandangan.
Bawani berkata, sepatutnya moderator memberi
peluang kepadanya menghabiskan ucapan kerana ia berkaitan isu yang
dibangkitkan.
Ketika ditanya apakah respons daripada rakan
mahasiswa yang lain, beliau menjelaskan, pada mulanya semua memberikan respons
negatif terhadap saya yang dilihat tidak respect kepada Sharifah Zohra.
Namun katanya, selepas menonton kembali video
tersebut, rakan-rakan memberikan sokongan padu kepadanya dan melihat tindakan
Sharifah seolah-olah menyekat suara mahasiswa.
Beliau yang diminta mengulas tentang video yang
menjadi buah mulut masyarakat itu, Bawani sangat terkejut dengan sambutan
tersebut dan menganggap ianya menggambarkan masyarakat prihatin dengan isu
mahasiswa.
"Ketika ini saya mendapat panggilan tanpa
henti daripada rakan-rakan terutama daripada UUM yang memberikan sokongan padu
kepada saya," jelasnya.
Bawani secara peribadi berterima kasih kepada
seluruh masyarakat yang memberikan sokongan padu kepadanya dan berharap suara
mahasiswa terus menjadi perhatian masyarakat.
~HD
No comments:
Post a Comment