Tuesday, January 8, 2013

SPRM digesa siasat jalan termahal di Malaysia


KOTA KINABALU: PAS Sepanggar mendesak agar SPRM menyegerakan siasatan terhadap isu kos pembinaan jalan ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah yang hanya berjarak 900 meter namun menelan belanja RM 14.9 juta.

Sebelum ini, Harakahdaily pernah melaporkan isu ini dan ahli Parlimen Gombak Azmin Ali juga pernah mempersoalkannya di Dewan Rakyat pada 1 Oktober 2012 lalu.

Memorandum juga telah dihantar oleh NGO Jingga 13 pada 17 Disember 2012 di pejabat SPRM Sabah.

"Setakat ini, pihak SPRM belum memberikan sebarang respon berhubung isu ini walaupun telah tiga minggu menerima memorandum daripada Jingga 13.

"Malah, pihak kerajaan negeri juga masihterus membisu daripada membuat sebarang kenyataan berhubung isu ini," kata Julfikar Abd Mijan selaku Koordinator Pusat Aduan Rakyat PAS Sepanggar.

Beliau turut mempersoalkan mengapa SPRM mengambil masa yang terlalu lama untuk memberikan maklum balas berhubung isu ini.

Katanya, kelewatan SPRM membuat siasatan melibatkan skandal wang rakyat ini menjejaskan kredibiliti SPRM dimata rakyat.

Selain itu, beliau turut mencabar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman supaya memberikan penjelaskan berhubung isu tersebut.

Menurut beliau lagi, pihaknya telah membuat tinjauan dibeberapa jalan raya di kawasan Sepanggar dan mendapati masih terdapat banyak jalan di kampung-kampung yang berada dalam kondisi yang teruk.

Ianya termasuk jalan di Kampung Numbak yang terletak hanya bersebelahan dengan bangunan 1 Borneo.

Katanya, jalan ini digunakan setiap hari oleh penduduk kampung berbanding jalan ke DUN yang hanya digunakan beberapa kali sahaja.

"Kita melahirkan kekesalan terhadap pihak kerajaan kerana seolah-olah wujud “Double Standard” antara jalan raya yang digunakan rakyat dengan jalan raya yang digunakan oleh menteri," katanya.

~Harakahdaily

No comments: